AGENDAGLOBAL

AS kenakan sekatan perjalanan kepada pegawai tentera Myanmar

WASHINGTON, 17 JUL : Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan perjalanan terhadap empat pegawai tentera Myanmar, kerana didakwa terlibat dengan pembersihan etnik minoriti Muslim Rohingya di negara itu, lapor agensi berita Anadolu Agency memetik kenyataan Setiausaha Negara Mike Pampeo.

Empat pegawai terbabit ialah Panglima Angkatan Tentera Min Aung Hlaing, Timbalan Panglima Soe Win, Brigadier Jeneral Than Oo dan Brigadier Jeneral Aung Aung.

Keluarga terdekat mereka turut dikenakan sekatan yang sama.

Pompeo menuduh pegawai tentera itu melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan terhadap penduduk di Rakhine, Myanmar.

“Kami khuatir kerajaan Myanmar tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pihak yang melanggar hak asasi manusia dan bertanggungjawab melakukan jenayah itu,” kata Pompeo.

Rohingya, digambarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai orang paling dianiaya di dunia, dicengkam ketakutan akibat keganasan yang memuncak sejak 2012.

Menurut Amnesty International, lebih 750,000 pelarian Rohingya, kebanyakan wanita dan kanak-kanak terpaksa melarikan diri dan mencari perlindungan di Bangladesh, selepas tentera Myanmar melancarkan serangan terhadap komuniti minoriti Islam pada Ogos 2017.

-BERNAMA


Pengarang :