BERITA UTAMASELANGOR

Ayahanda saudara Sultan Selangor mangkat

SHAH ALAM, 9 JULAI: Kerabat Diraja Bergelar, Tengku Besar Putra Selangor, Tengku Ismail Shah Sultan Hisamuddin Alam Shah mangkat kira-kira 8 malam tadi.

Laman Facebook Selangor Royal Office dalam kenyataannya berkata, Tengku Ismail Shah yang juga ayahanda saudara kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mangkat di Pusat Perubatan Subang Jaya kerana sakit tua.

“Dukacita dimaklumkan Kerabat Diraja Bergelar, Yang Amat Mulia Tengku Besar Putra Selangor, Tengku Ismail Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj telah mangkat kembali ke rahmatullah pada 8 malam, 8 Julai bersamaan hari Isnin di Pusat Perubatan Subang Jaya kerana sakit tua.

“Jenazah almarhum akan dimakamkan di Makam Diraja Klang pada Selasa, esok sebelum solat Zohor.

“Almarhum yang diputerakan pada 26 Jun 1935 berusia 84 tahun, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh almarhum,” kata kenyataan berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :