NASIONAL

Azmin: RMK-12 digubal berasaskan tiga dimensi

PUTRAJAYA, 1 JUL: Dasar dan strategi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) akan digubal berasaskan kepada tiga dimensi, iaitu pemerkasaan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kejuruteraan semula sosial.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, RMK-12 adalah kesinambungan kepada pelan-pelan pembangunan yang lepas yang akan digubal berasaskan ‘Kemakmuran Bersama’ yang akan menjadi garis panduan kepada pembangunan jangka panjang.

Beliau berkata, dimensi-dimensi itu akan saling melengkapi antara satu sama lain ke arah mencapai model pembangunan baharu berasaskan kemakmuran bersama, sejajar dengan usaha kerajaan untuk mencapai matlamat pembangunan lestari menjelang 2030.

“Dimensi-dimensi ini akan ditunjangi oleh prinsip-prinsip kerajaan diperkukuh dan alat-alat dasar baharu,” katanya ketia melancarkan Pemantauan Terkini Ekonomi Malaysia oleh Bank Dunia dan pelancaran persidangan permulaan RMK-12 di sini hari ini.

Ucapan beliau itu disampaikan menerusi rakaman video kerana beliau kini menghadiri mesyuarat Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan mesyuarat menteri-menteri bukan OPEC di Vienna, Austria.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata kerajaan akan membelanjakan kira-kira RM45 bilion tahun depan untuk lebih 4,000 projek pembangunan bagi memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Beliau berkata perbelanjaan pembangunan itu akan melimpah ke tahun-tahun berikutnya bagi memastikan pertumbuhan ekonomi domestik yang kukuh dan lestari.

“Bersama-sama dengan pelaksanaan semula beberapa projek berskala besar, langkah-langkah ini akan menjadi pemacu kepada pertumbuhan kita bagi tahun ini dan tahun depan.

“Dalam kita terus melaksanakan pengukuhan pelaburan langsung asing, mesti ada usaha serentak yang dilaksanakan untuk meningkatkan juga pelaburan domestik,” kata beliau.

Mohamed Azmin berkata usaha-usaha ini akan menambah milai substantif kepada ekonomi Malaysia khususnya dari segi mewujudkan peluang-peluang pekerjaan, menjana kekayaan dan membesarkan lagi pai ekonomi.

Beliau berkata kerajaan juga telah melaksanakan penambahbaikan penting bagi mengurangkan beban pengawalseliaan sejajar dengan matlamat hendak mempermudahkan pelaksanaan perniagaan, dan menambah ‘masih banyak lagi yang perlu dilakukan’.

Beliau turut menyatakan bahawa antara langkah-langkah lain yang sedang diambil ialah penghapusan langkah-langkah bukan tarif (NTM).

Sehingga 2018, kerajaan telah mengkaji semula 668 NTM di bawah enam kementerian yang jumlah kos pematuhan keseluruhan dianggarkan RM2.96 bilion, dengan potensi penjimatan sebanyak RM739 juta, kata beliau. – BERNAMA


Pengarang :