SELANGOR

Bahasa Melayu di semua papan tanda rasmi Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 JULAI: Kerajaan Negeri menetapkan semua papan tanda jalan di Selangor akan menggunakan Bahasa Melayu sahaja, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, pendirian itu selaras perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 serta titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.

“Perihal ini (isu papan tanda) turut mendapat perhatian DYMM Tuanku yang memberi titah dan nasihat supaya Kerajaan Negeri memartabatkan Bahasa Melayu dan menetapkan supaya ia digunakan dalam papan tanda rasmi Kerajaan Negeri termasuk Pihak Berkuasa Tempatan.

“Pendirian kerajaan selaras komitmen Pakatan Harapan (PAKATAN) yang komited mempertahankan beberapa teras utama perlembagaan seperti kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.

Pada November 2018, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya semua papan tanda di Shah Alam yang mempunyai tulisan bahasa Cina ditanggal dan digantikan dengan papan tanda jalan dengan satu bahasa sahaja iaitu Bahasa Melayu.

Titah itu disampaikan Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani, menerusi surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dan Datuk Bandar Shah Alam sebelum ini, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Isu papan tanda kembali menjadi tumpuan kerana terdapat pemasangannya dalam bahasa Mandarin di Tanjung Sepat, Kuala Langat.


Pengarang :