SELANGOR

Bajet 2020: MBSA anjur bengkel dapatkan input komuniti

SHAH ALAM, 11 JUL: Seramai 100 peserta menyertai Bengkel Bajet 2020 Bersama Komuniti Shah Alam anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, penganjurannya bertujuan membincang dan mendapatkan input dari komuniti serta pelbagai organisasi supaya hala tuju bajet yang dirangka pihak berkuasa tempatan itu memenuhi jangkaan segenap lapisan masyarakat.

“Dalam merangka bajet 2020, MBSA mengambil pendekatan ‘People Centric’ untuk merancang pembangunan Bandaraya Shah Alam dengan melaksanakan ‘participatory budgeting process’ yang memberikan ruang kepada penglibatan masyarakat secara langsung merencana program atau projek yang perlu dilaksanakan.

“Pendekatan ini memberi ruang kepada komuniti yang berada di bawah pentadbiran MBSA untuk mengutarakan cadangan serta idea bernas selain mengambil kira keperluan juga kehendak masyarakat masa kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrin berkata, bengkel itu juga antara lain memberi fokus terhadap pembangunan infrastruktur, kemudahan awam, pengindahan landskap, pengurusan sisa pepejal, kesihatan persekitaran dan program kesedaran bandar rendah karbon.

“MBSA mengambil langkah proaktif bagi menyediakan perkhidmatan dan kemudahan perbandaran bersesuaian dan komprehensif serta mengambil kira kepentingan pemegang taruh (stakeholders).

“Diharap bengkel ini dapat memberikan impak positif bagi membantu MBSA terutamanya dalam merancang pembangunan, penyediaan perkhidmatan dan kemudahan serta menyediakan program dan aktiviti yang dikehendaki oleh komunti,” katanya.

Terdahulu, Ahli-Ahli Majlis MBSA, Pengarah-Pengarah Jabatan, Majlis Perwakilan Penduduk Shah Alam, persatuan penduduk, ahli jawatankuasa kampung, pemaju, institusi pengajian tinggi, badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat antara peserta menyertai Bengkel Bajet 2020 Bersama Komuniti Shah Alam.

Majlis perasmian disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haji Haris Kasim dan turut dihadiri Ahli-Ahli Majlis serta Pengarah-Pengarah Jabatan MBSA.


Pengarang :