NASIONAL

Bakal peguam syarie wajib jalani latihan dalam kamar enam bulan

KUALA LUMPUR, 11 JUL: Bakal peguam syarie akan diwajibkan untuk menjalani latihan dalam kamar selama enam bulan, sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 diluluskan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, ia bertujuan untuk membiasakan diri mereka dengan perundangan substantif dan tatacara yang perlu dipatuhi dalam pengendalian satu-satu kes.

“Latihan dalam kamar ini akan membantu bakal peguam dan akan dibantu oleh peguam syarie kanan yang mempunyai ilmu dan pengalaman yang luas dalam perundangan syariah,” katanya ketika membentangkan rang undang-undang itu bagi bacaan kali kedua, di Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang itu bertujuan untuk mencadangkan amalan, etika, kelakuan dan tatatertib profesional peguam syarie selain menubuhkan Lembaga Kelayakan Profesion Guaman Syarie, Badan Peguam Syarie dan Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, Akta Pertadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1993) yang terpakai hari ini, adalah terhad dan tidak meliputi semua aspek yang berkenaan dengan pentadbiran dan pengawal selian profesion peguam syarie.

“Sebagai contoh kaedah-kaedah peguam syarie tiada peruntukan mengenai keperluan mengadakan latihan dalam kamar ataupun chambering,” katanya.

Ketika sesi perbahasan, Nor Azrina Surip (PH-Merbok), berkata rang undang-undang akan meningkatkan standard profesional serta kualiti peguam syarie kerana ditadbir urus dan dikawal selia dengan lebih profesional.

“Saya yakin satu lagi sejarah akan dilakar dengan lulusnya rang undang-undang ini yang mana mengubah landskap sistem kehakiman Islam,” katanya.

Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) pula mencadangkan supaya proses peguam syarie menjadi peguam sivil dipermudahkan kerana peguam syarie yang telah memperoleh Ijazah Sarjana Muda Syariah mempunyai pendidikan asas perundangan sivil dan kanun jenayah.

“Perkara saya nak timbulkan ialah bagaimana peguam sivil nak jadi peguam syarie agak mudah, ada ijazah sarjana muda undang-undang kemudian tambah lagi setahun Diploma Lanjutan Syariah dan Amalan, temu duga terus boleh jadi peguam syarie.

“Sebaliknya, peguam syarie terpaksa membuat semacam ijazah pertama semula tambah lagi empat tahun meskipun mereka telah mengikut ijazah sarjana muda syariah selama empat tahun,” katanya.

Sidang dewan bersambung Isnin ini. – BERNAMA


Pengarang :