AGENSISELANGOR

Bakhtiar Hussin dilantik Pengerusi YIDE baharu

SHAH ALAM, 18 JUL : Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melantik Dato’ Bakhtiar Hussin sebagai Pengerusi Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) yang baharu.

YIDE dalam kenyataan berkata, lantikan Bakhtiar yang juga mantan Setiausaha Majlis Agama Negeri Selangor itu berkuat kuasa pada 16 Julai yang lalu.

Katanya, Bakhtiar mempunyai pengalaman luas sebagai pentadbir di Selangor serta mempunyai pengalaman menerajui MAIS sebagai Setiausaha bermula 2014 hingga 2018.

“Antara lain, beliau turut pernah menjawat sebagai Pegawai Daerah Klang dari 2006 hingga 2013 dan juga Ketua Pengarah Setiausaha pejabat Dewan Undangan Negeri Selangor dari 2001 hingga 2006.

“Hubungan baik Bakhtiar bersama syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat korporat yang lain akan memberi impak kepada YIDE untuk disalurkan kepada golongan sasar seperti anak-anak yatim, pesakit-pesakit hemodialisis dan mangsa musibah,” kata kenyataan itu.

Pelantikan itu dibuat bagi menggantikan Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa yang tamat tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi YIDE.

YIDE adalah sebuah agensi dibawah MAIS yang dipertangungjawabkan menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan di Selangor.


Pengarang :