EXCOSELANGOR

Bancian trafik kaji keperluan naik taraf Jalan Morib-Sepang

SHAH ALAM, 31 JULAI: Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor akan menjalankan bancian trafik dan kajian awalan terhadap keperluan menaik taraf Jalan Morib-Sepang yang didakwa berada dalam keadaan teruk, kata Ir Izham Hashim.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, buat masa ini tiada keperluan mendesak untuk menaik taraf jalan terbabit yang merupakan jalan persekutuan FT05.

“Jika ada keperluan untuk jalan ini dinaik taraf, satu kertas cadangan permohonan projek akan disediakan oleh JKR Selangor untuk dimohon ke cawangan Jalan Ibu Pejabat JKR Malaysia dalam Rancangan Malaysia seterusnya.

“Perancangan untuk menyelenggara jalan persekutuan sudah ada, termasuk FT05 iaitu program berkala ‘pavemen’ dan berskala bukan ‘pavemen’ yang dianggarkan berjumlah RM1.7 juta bagi daerah Sepang, manakala RM4.6 juta bagi daerah Kuala Langat untuk tahun ini.

“Ia akan dipohon setiap tahun mengikut tahap kerosakan jalan,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah, pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.

Ditanya berhubung perancangan menambah lampu jalan berbahaya, Ir Izham berkata, JKR sedang menjalankan siasatan terhadap lokasi berbahaya melalui statistik kemalangan.

“In bagi mengangkat kertas permohonan ke Ibu Pejabat JKR Malaysia untuk disemak oleh Unit Forensik Keselamatan jalan dan seterusnya membuat permohonan,” katanya.


Pengarang :