Selangorkini
NASIONAL

Banjir di Melaka semakin pulih

MELAKA, 9 JULAI: Keadaan banjir di Melaka semakin pulih apabila sebuah lagi pusat pemindahan ditutup, sekali gus menjadikan jumlah mangsa banjir di negeri ini berkurangan kepada 753 orang daripada 190 keluarga, setakat 8 pagi ini.

Katanya, jumlah itu menurun berbanding 934 mangsa daripada 212 keluarga, malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata, pusat pemindahan di Balai Raya Panchor, Alor Gajah itu ditutup pada 9 malam tadi, manakala enam lagi pusat berkenaan masih beroperasi.

“Di daerah Alor Gajah, 419 mangsa membabitkan 102 keluarga masih ditempatkan di empat pusat pemindahan dengan 343 mangsa daripada 87 keluarga di Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam, 27 mangsa daripada enam keluarga di Balairaya Kampung Beringin, 40 mangsa daripada tujuh keluarga di Balairaya Bukit Balai dan sembilan mangsa daripada dua keluarga di Balairaya Sungai Tuang.

“Manakala, dua pusat pemindahan lain di Melaka Tengah membabitkan SK Krubong menempatkan 185 mangsa daripada 48 keluarga dan SK Taman Merdeka dengan 149 mangsa daripada 40 keluarga,” katanya yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Melaka.

-BERNAMA


Pengarang :