NASIONAL

Banjir Melaka: Dua sekolah ditutup

MELAKA, 8 JULAI: Dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong di daerah Melaka Tengah dan SK Belimbing di Alor Gajah terpaksa ditutup ekoran banjir kilat yang melanda negeri itu sejak semalam.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Datuk Abu Bakar Sahari berkata, kedua-dua sekolah berkenaan ditutup mulai hari ini (Isnin) setelah dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk menempatkan mangsa banjir.

Dalam kenyataan di sini malam tadi, beliau berkata 1,236 murid dan 71 guru terjejas di Sekolah Kebangsaan Krubong, manakala di Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam pula membabitkan 484 murid serta 40 guru.

“Bagaimanapun, hanya murid sahaja yang dibenarkan untuk tidak bersekolah manakala guru yang tidak terbabit dengan bencana banjir diminta untuk hadir ke sekolah seperti biasa,” katanya.

Abu Bakar berkata, sebuah lagi sekolah di Alor Gajah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pengkalan turut digunakan sebagai PPS dan menempatkan 122 mangsa daripada 34 buah keluarga namun sesi persekolahan berjalan seperti biasa.

Sementara itu, menurut laporan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri sehingga 8 malam tadi, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,149 orang membabitkan 260 keluarga berbanding 745 mangsa daripada 150 keluarga pada sebelah petang.

-BERNAMA


Pengarang :