NASIONAL

Banjir: Orang ramai diminta patuhi arahan pihak berkuasa

MELAKA, 8 JUL: Orang ramai diminta agar sentiasa berwaspada dengan keadaan dan mengikut arahan pihak berwajib dari semasa ke semasa bagi mengelak perkara yang tidak dingini berlaku ketika banjir kilat ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, orang ramai perlu segera berpindah jika diminta untuk berbuat demikian oleh pihak berkuasa.

“Saya dapat tahu bahawa terdapat segelintir individu yang tidak ingin berpindah ke Pusat Pemindahan sementara (PPS) atas pelbagai alasan seperti takut barang hilang, barang rosak dan lebih suka bertindak mendiam diri tidak seharusnya berlaku,“ katanya kepada Bernama ketika meninjau keadaan banjir kilat di Taman Angkasa Nuri dekat sini, hari ini.

Beliau, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, turut menasihati ibu bapa agar sentiasa mengawasi anak mereka agar tidak bermain air bagi mengelak berlaku insiden yang tidak dingini ataupun terdedah dengan penyakit berjangkit.

Mohd Sofi berkata, beliau percaya Kerajaan Negeri sedang berusaha mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di Melaka dan langkah yang akan diambil oleh pihak Kerajaan Negeri akan diumumkan sendiri oleh Ketua Menteri, Adly Zahari.

“Kita tidak berminat untuk mencari kesalahan mana-mana pihak dalam menangani masalah banjir kilat, namun apa yang lebih penting kita akan berusaha mencari jalan penyelesaian bagi membantu rakyat kerana pasti ada 1001 alasan yang diperkatakan oleh pelbagai pihak yang membuat andian sendiri,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua agensi terbabit seperti Angkatan Pertahanan Awam, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan serta badan bukan kerajaan (NGO) lain yang terlibat seperti Amal Relief Malaysia (ARIF) yang banyak membantu mangsa banjir.

Mohd Sofi berkata, ARIF akan membantu mangsa banjir mencuci rumah bagi meringgankan beban orang ramai dan JEPRUN Durian Tunggal telah menubuhkan satu pasukan bagi mengenal pasti rumah yang akan dibasuh secara percuma.

“Terdapat kira-kira 100 sukarelawan ARIF dan telah menerima bantuan daripada ARIF Johor, Negeri Sembilan dan beberapa negeri lain bagi membantu mangsa banjir kerana kita bukan hanya membantu semasa banjir tetapi juga selepas banjir,” katanya.

Orang ramai di DUN Durian Tunggal yang ingin mendapat bantuan ARIF boleh menghubungi Pejabat Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal atau pengarah ARIF Melaka, Khairil Anwar Samad di talian 016-9811315 bagi mendapatkan bantuan daripada sukarelawan.

Bernama hari ini melaporkan jumlah mangsa banjir kilat di Melaka pada hari kedua terus meningkat kepada 1,391 orang melibatkan 318 buah keluarga setakat 8.00 pagi ini berbanding 1,149 mangsa daripada 260 buah keluarga malam tadi. – BERNAMA


Pengarang :