NASIONAL

Bapa mengaku tidak bersalah dera tiga anak kandung

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Seorang bapa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan mendera tiga anak kandungnya sehingga cedera di bahagian punggung dan tangan.

Tertuduh, yang berusia 34 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Lelaki itu, yang bekerja sebagai pemandu pelancong, didakwa dengan sengaja melakukan penderaan kepada ketiga-tiga kanak-kanak itu sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian punggung dan tangan kanan mangsa di sebuah rumah di Sentul di sini, pada 8.00 malam 17 Jun lalu.

Dua anak perempuan tertuduh berumur sembilan dan tujuh tahun manakala seorang lelaki berumur 10 tahun.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Afiq Nazrin Zaharinan yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan sebarang ikat jamin dengan alasan bimbang tertuduh akan mendera mangsa lagi.

Peguam Lee Tee Kiat, yang mewakili tertuduh, bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan tertuduh mempunyai enam orang anak, isteri serta menjaga ayahnya yang berusia lebih 70 tahun.

Rohatul Akmar membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM15,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Ogos untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran dua minggu sekali, tidak boleh terbabit dengan apa-apa kesalahan jenayah sehingga kes selesai dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi.

-BERNAMA


Pengarang :