AGENDANASIONAL

Bayi lelaki maut lemas dalam baldi di taska

SHAH ALAM, 26 JUL: Seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan maut, dipercayai lemas dalam baldi berisi air di dalam tandas sebuah taska di Seksyen 32 di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, bayi itu ditemui pengasuh taska dalam baldi kecil berisi air dengan keadaan kepala telangkup ke bawah dalam kejadian kira-kira 1.45 tengah hari.

“Sebelum itu pemilik taska berusia 30 tahun dan tiga pengasuh (taska) menjalankan aktiviti memancing di sebuah bilik aktiviti di taska tersebut.

“Seorang daripada pengasuh kemudian menyedari kejadian itu apabila memasuki tandas dan melihat bayi di dalam baldi kecil berisi air dengan kepalanya ke bawah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan kejadian itu pemilik taska bertindak membawa mangsa ke Klinik Desa di Jalan Kebun untuk mendapatkan rawatan.

Baharudin berkata, bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk pemeriksaan lanjut, namun disahkan meninggal dunia pada 4 petang.

“Pemilik taska turut menghubungi ibu mangsa berusia 37 tahun bagi memaklumkan keadaan anaknya.

“… dan bedah siasat yang dijalankan pada 9 pagi semalam mendapati tiada kesan penderaan fizikal terhadap mangsa,” katanya.

Baharudin berkata, bayi itu baru 10 hari dihantar ke taska terbabit dengan bayaran RM300 dan dilaporkan dalam keadaan sihat.

Tambahnya, ketika kejadian hanya ada 10 anak asuhan yang sedang dijaga di premis berkenaan.

“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi mengenal pasti punca kejadian dan sama ada wujudnya kecuaian.

“Pemilik taska juga telah ditahan kira-kira 10 malam tadi (semalam) untuk siasatan lanjut, ” katanya. – BERNAMA


Pengarang :