SELANGOR

Bebas Aedes: Selangor lancar gotong-royong mega

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 12 JUL: Kerajaan Negeri bakal melaksanakan Gotong-Royong Mega Selangor Bebas Aedes menerusi program Cari dan Musnah Aedes, pada 14 Julai.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, program berlangsung sepanjang Julai itu bertujuan membanteras kes denggi yang semakin berleluasa di negeri ini.

Katanya, program itu juga sempena Hari Denggi Asean peringkat Selangor yang dilancarkan semasa Karnival 3W (Women, Welfare & Wellness), pada 6 Julai lalu.

“Saya menyeru kepada seluruh rakyat Selangor terutama kepada anda yang berada di lokaliti hotspot wabak denggi supaya mengambil langkah proaktif.

“Pencegahan sewajarnya perlu dilakukan supaya kita dapat bersama memastikan wabak ini tidak akan menular dengan lebih parah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Cari dan Musnah Aedes Selangor 2019 di Dewan Annex, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Dr Siti Mariah berkata, seluruh badan, agensi kerajaan dan pimpinan masyarakat tempatan seperti Ahli Dewan Negeri, Ahli Majlis, Ketua Kampung lokaliti Combi di setiap daerah diminta untuk turut serta dalam program terbabit.

“Menerusi program ini terdapat beberapa panduan dan kaedah pelaksanaan antaranya orang ramai perlu mencari dan memusnahkan tempat takungan air yang berpotensi menjadi pembiakan Aedes.

“Membersihkan kawasan dalam rumah seperti bekas atau barang yang menakung air terutama di lorong belakang, kebun kecil atau tapak semaian dan tempat letak kereta.

“Selain itu, fokus pembersihan sampah atau bekas plastik di kawasan tempat tumpuan ramai seperti padang permainan dewan orang ramai, tapak pasar malam, kawasan rumah ibadat supaya tidak menjadi tempat pembiakan Aedes,” katanya.

 

 


Pengarang :