NASIONAL

Bekas pemandu peribadi: Ku Nan minta tebus cek RM2 juta

KUALA LUMPUR, 2 JUL: Bekas pemandu peribadi kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau telah diminta oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu untuk mendepositkan cek berjumlah RM2 juta ke dalam akaun milik syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd.

Nik Yahaya Nik Mustapha, 54, ketika membacakan penyataan saksinya turut mengesahkan bahawa beliau telah menerima cek berkenaan daripada Tengku Adnan di pejabatnya pada 14 Jun 2016.

“Datuk Seri Tengku Adnan telah meminta saya untuk menebus cek ini kepada akaun Tadmansori bernombor 8001179747 dan saya telah membawa cek itu ke CIMB Berhad Damansara Centre Town untuk ditebus ke dalam akaun milik syarikat berkenaan,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Haderiah Siri pada hari pertama perbicaraan kes rasuah RM2 juta yang dihadapi Tengku Adnan.

Saksi keempat pendakwaan itu berkata demikian ketika Haderiah merujuk kepadanya sekeping cek Hong Leong Islamic Bank berjumlah RM2 juta bertarikh 14 Jun 2016 daripada Aset Kayamas Sdn Bhd kepada Tadmansori Holdings.

Nik Yahya, yang bekerja selama 24 tahun sebagai pemandu peribadi Tengku Adnan sebelum berhenti pada Jun 2018, juga mengesahkan di muka belakang cek itu terdapat nombor akaun syarikat Tadmansori dan mengesahkan nombor telefon 0193070714 yang tertera di belakang cek itu adalah miliknya (Nik Yahya).

“Saya sahkan nama, nombor akaun dan nombor telefon yang ditulis di belakang cek itu adalah tulisan tangan saya yang dibuat sebelum saya menebus cek itu,” katanya yang turut memaklumkan beliau tidak tahu tujuan cek berkenaan dibuat dan tidak tahu siapa wakil Aset Kayamas.

Menceritakan mengenai tugasnya sebagai pemandu peribadi kepada Tengku Adnan, saksi itu berkata beliau juga seringkali menjadi pengawal peribadi untuk menggantikan pengawal peribadi majikannya yang bercuti atau sakit.

Katanya, beliau turut membawa Tengku Adnan ke tempat yang ingin dituju dan menerima arahan daripadanya dari masa ke semasa.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Tan Hock Chuan, yang mewakili Tengku Adnan, Nik Yahya memaklumkan bahawa bekas majikannya itu seorang yang agak sibuk berikutan jawatan tinggi yang disandangnya dalam kabinet dan parti.

Nik Yahya juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa Tengku Adnan adalah seorang yang bermurah hati dan kerap kali memberi sumbangan wang kepada orang yang memerlukan.

Ditanya sama ada sebagai pemandu dan pengawal peribadi, adakah beliau sering diminta oleh Tengku Adnan untuk menunaikan cek di bank, Nik Yahya menjawab: “saya tidak ingat”.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan. – BERNAMA


Pengarang :