NASIONAL

Bekas Pengerusi KWAP akui pembiayaan SRC tanpa projek

KUALA LUMPUR, 11 JUL: Bekas Pengerusi Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, tiada sebarang projek yang wujud menggunakan wang RM4 bilion yang dipinjam oleh syarikat SRC International Sdn Bhd daripada KWAP.

Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, 67, yang juga bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, berkata ini berbeza dengan projek lain yang mendapat desakan untuk disegerakan oleh Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian pada hari ke-36 perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan tujuh pertuduhan dalam kes penyelewengan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Terdahulu, saksi ke-45 pendakwaan itu ditanya mengenai dua projek iaitu projek penginapan Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) dan projek Lebuhraya Utara-Selatan UEM yang telah diluluskan sebelum proses dokumentasi dan kertas kerja selesai.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Suhaimi Ibrahim mengemukakan soalan itu dalam pemeriksaan semula berkaitan isu penganjuran kedua-dua projek walaupun dokumentasi belum disiapkan yang dibangkitkan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Suhaimi : Tan Sri telah dirujuk dengan dua projek yang jelas, yang semua orang tahu, pertama di LIMA, tempat penginapan yang perlu disediakan dan kertas kerja dibuat kemudian. Soalnya, walaupun ada desakan (untuk menyegerakan projek) tidak mengikut peraturan asal, projek itu wujud atau tidak? Dapat dilihat atau tidak di Langkawi?

Wan Abdul Aziz : Ya (projek itu wujud dan dapat dilihat di Langkawi).

Suhaimi : Dan Lebuhraya Utara-Selatan UEM, ada atau tidak jalan raya yang boleh digunakan sekarang?

Wan Abdul Aziz : Ya (Lebuhraya Utara-Selatan UEM ada dan boleh digunakan sekarang).

Suhaimi : Bagi SRC pula, bila pembiayaan dikeluarkan, sehingga sekarang ada atau tidak kita nampak apa yang dilakukan dengan wang yang dipinjam?

Wan Abdul Aziz : “Tidak (nampak).”

Suhaimi juga menyoal sama ada semasa pertemuan antara Wan Abdul Aziz dan Najib, bekas Perdana Menteri itu telah memberi bayangan mengenai rancangan dan masa hadapan SRC, namun saksi itu berkata beliau hanya diberitahu bahawa syarikat itu memerlukan pembiayaan segera dan pengeluaran dana lebih awal.

Kepada soalan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sama ada Najib memaklumkan perkara lain mengenai SRC kepada beliau (selain diminta mempercepat pengeluaran pinjaman lebih awal sebelum surat jaminan kerajaan dikeluarkan), saksi itu menjawab “tiada.”

Terdahulu, Muhammad Shafee menjelaskan bahawa ada ketika pada masa lepas, yang melihat kertas kerja bagi satu projek atau wawasan oleh kerajaan yang muncul selepas kerja-kerja untuk projek berkenaan dimulakan.

Beliau memberi contoh dua projek (pameran LIMA di Malaysia dan Lebuhraya Utara-Selatan UEM) yang dilaksanakan sebelum Najib memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

Muhammad Shafee : “Ia tidak salah atau tidak sesuai. Adakah anda bersetuju bahawa tidak ada salah laku kerana kadang-kadang ia perlu dilakukan?”

Wan Abdul Aziz : Ya.

Muhammad Shafee : Ini juga ide di sebalik sebab Perdana Menteri berusaha gigih, dia desak dan kertas kerja menyusul.

Saksi itu berkata “ya.”

Terdahulu, Suhaimi merujuk saksi itu kepada dokumen permohonan pembiayaan yang dikemukakan SRC kepada KWAP.

Menjawab soalan kepada siapa SRC kemukakan permohonan pembiayaan itu, Wan Abdul Aziz berkata ia ditujukan terus kepada Najib dan bukan kepada Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Azian Mohd Noh.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Mohd Nazlan. – BERNAMA


Pengarang :