AGENDANASIONAL

Beri peluang golongan B40 rasai keselesaan

IPOH, 26 JUL: Syarikat korporat disaran memberi peluang kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) untuk merasai keselesaan hidup selain menjana ekonomi sendiri, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin.

Sehubungan itu, beliau memuji usaha Eastern Decorator, sebuah syarikat pembuat tekstil serta hiasan dalaman yang memberi peluang kepada 30 suri rumah dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sini menggunakan perca kain mereka bagi menghasilkan barangan kegunaan sendiri.

“Syarikat ini beritahu perca kain tidak dibuat apa-apa, maka saya minta ia diberikan kepada penduduk PPR, Jalan Hospital untuk mereka sambung (jahit) menjadi sarung bantal atau cadar.

“Kualiti kain (keluaran) syarikat ini amat tinggi, jadi dengan cara ini penduduk (golongan B40) dapat merasai nikmat tidur dengan bantal, cadar yang enak. Mereka berhak mendapat keselesaan, seterusnya mengurangkan tekanan,” katanya kepada pemberita selepas melawat kilang Eastern Decorator di Kawasan Perindustrian Khantan dekat sini, hari ini.

Menurut Zuraida, usaha tersebut adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan ia wajar dicontohi oleh syarikat-syarikat lain.

Menjelas lanjut, Zuraida berkata, ketika ini suri rumah terpilih akan menjahit perca kain di kilang syarikat itu dan untuk masa akan datang pihaknya merancang kemungkinan menyediakan mesin jahit di PPR yang terlibat.

Selain itu, katanya pihak kementerian dan syarikat juga akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai model perniagaan yang boleh dilaksanakan menerusi usaha itu.

Terdahulu, semasa mengadakan lawatan ke Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Zuraida memuji pembangunan di bandar raya itu yang dilaksanakan secara teratur.

Beliau turut memuji ketegasan penguatkuasaan undang-undang oleh MBI terutama di pasar yang menyaksikan ia tidak didominasi oleh pendatang asing seperti yang berlaku di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Kalau tidak dapat menguatkuasakan undang-undang dan peraturan dengan baik, maka perancangan yang cantik akan jadi tak cantik,” katanya.

Tambah Zuraida, MBI juga sedang dalam perancangan untuk menggunakan sistem perangkap sampah di longkang, sungai dan tasik bagi mengurangkan pencemaran seterusnya mengelakkan banjir kilat. – BERNAMA


Pengarang :