Selangorkini
NASIONAL

Bicara kes rasuah RM2 juta Ku Nan bermula esok

KUALA LUMPUR, 1 JUL: Perbicaraan kes Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang didakwa atas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, Chai Kin Kong akan bermula di Mahkamah Tinggi di sini esok.

Seorang Timbalan Pendakwa Raya berkata pihak pendakwaan akan memanggil empat saksi untuk memberi keterangan.

Ketika ditanya beliau berkata empat saksi itu antaranya dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia, bahagian Kabinet dan pegawai bank dijangka memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan kes itu.

Perbicaraan kes bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu akan didengar di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan pada pukul 9 pagi.

Kes Tengku Adnan, 68, yang juga Anggota Parlimen Putrajaya ditetapkan untuk perbicaraan bermula 2, 3, 4, 9, 10 dan 11 Julai 2019.

Pada 23 Januari lepas, Tengku Adnan mengekalkan pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamed Zaini selepas pertuduhan dibacakan semula semasa sebutan kali pertama kes itu setelah kesnya dibenar dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 14 Disember 2018.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding Sdn Bhd‬ yang dia mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Tengku Adnan juga menghadapi satu pertuduhan menerima rasuah dan satu pertuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM1 juta daripada ahli perniagaan, Tan Eng Boon berhubung kelulusan permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan Semarak, di sini pada 2013.

Perbicaraan kes itu yang akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan bermula 3 September depan. – BERNAMA


Pengarang :