SELANGOR

BizPoint tawar baju ‘preloved’ semurah RM1

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 14 JULAI : Orang ramai khsusnya penggemar barangan terpakai ataupun ‘preloved’ berpeluang mendapatkan baju semurah RM1 ketika Program Food Fiesta @ PKNS BizPoint pada 20 hingga 21 Julai ini.

Pengurus Komunikasi Korporat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Ishak Hashim berkata, program melalui Projek Seringgit itu mengumpulkan pakaian terpakai yang masih dalam keadaan baik untuk dijual semula pada harga serendah RM1.

Katanya, pendapatan daripada projek berkenaan akan disalurkan kepada badan kebajikan yang terpilih antaranya Pertubuhan Kebajikan Nur Hati dan Rumah Anak Yatim Nur Qaseh.

“Ia juga sebagai tanda sokongan PKNS terhadap Program Tanggungjawab Sosial Korporat yang dapat membantu golongan berpendapatan rendah (B40) dalam mendapatkan pakaian pada harga serendah RM1,” katanya kepada SelangorKini.

Food Fiesta @ PKNS BizPoint anjuran Bahagian Pembangunan Usahawan akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Mengulas lanjut, Ishak berkata, Food Fiesta @ PKNS BizPoint itu turut menawarkan peluang kepada peniaga makanan viral di sekitar Shah Alam untuk mempromosikan produk jualan mereka.

Katanya, ia memberi peluang kepada usahawan dalam bidang makanan dan minuman untuk diberi pendedahan perniagaan secara terus berbanding di atas talian.

“Kami juga mahu mempromosikan bangunan PKNS BizPoint sebagai hub aktiviti keusahawanan dan menyebarluas kemudahan ruang acara yang ditawarkan,” katanya.


Pengarang :