Bon Odori yang disambut pada musim panas di Jepun dan negara luar diadakan bagi menghormati nenek moyang melalui persembahan, tarian serta nyanyian mengikut rentak drum, gong juga seruling. -foto HAFIZ OTHMAN (SelangorKini)
BERITA UTAMA

Bon Odori rancakkan industri pelancongan

SHAH ALAM, 21 JULAI: Penganjuran festival terbesar Bon Odori yang diadakan setiap tahun mampu merancakkan industri pelancongan negara khususnya Selangor.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari berkata, kolaborasi penganjuran berkenaan sejak 2008 juga membuktikan kerjasama erat antara kedua-dua negara.

“Tujuan festival ini diadakan untuk mengetengahkan budaya Jepun dan Selangor melalui tarian kebudayaan kedua-dua negara ini.

“Dengan sambutan yang sangat menggalakkan daripada 40,000 pengunjung, ini membuktikan program seperti ini berjaya mencapai objektifnya,” katanya ketika ditemui di festival yang diadakan di Kompleks Sukan Negara Panasonic, di sini.

Hadir sama, Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa; Pengerusi Jawatankuasa Bon Odori Kelab Jepun Kuala Lumpur (JCKL), Atsushi Nakamura; Pengerusi JCKL, Ryuta Katori serta Pemangku Pengurus Besar Tourism Selangor, Mohammad Zaim Mohammad Nasir.

Pada masa sama, Abdul Rashid berharap festival berkenaan dapat diteruskan pada masa akan datang dalam usaha menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara ke Selangor.

Katanya, penganjuran program itu juga dapat mengeratkan dan memberi manfaat kepada hubungan kedua-dua negara.

Festival tarian negara matahari terbit itu memasuki ulang tahun ke-43 tahun ini dianjurkan bersama Kelab Jepun Kuala Lumpur, Tourism Selangor, Kedutaan Jepun di Malaysia dan beberapa persatuan Jepun di Malaysia.

Ia adalah festival tarian utama dan terbesar diadakan di Jepun dan di luar dengan persembahan pelbagai variasi tarian serta muzik tradisional Jepun.


Pengarang :