SELANGOR

Bon Odori tambat hati pasangan Rusia

SHAH ALAM, 21 JULAI: Kemeriahan festival unik kebudayaan masyarakat Jepun, Bon Odori yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Seksyen 21 Shah Alam, di sini malam tadi turut menambat hati pelancong luar negara.

Tinjauan SelangorKini mendapati bukan sahaja rakyat tempatan dan masyarakat Jepun, malahan festival memasuki edisi ke-43 itu berjaya menggamit hati Nik Shigov dan Kseniia Shigova dari Rusia yang tidak mahu melepaskan peluang menyelami keunikan acara berkenaan.

Tampil segak mengenakan Kimono bercorak flora dan bersepatu kayu, Shigov, 27, memutuskan untuk hadir ke acara malam bagi melihat sendiri secara lebih dekat kecantikan budaya Jepun.

“Saya peminat setia budaya Jepun sejak dari dahulu lagi. Walaupun berlainan bangsa tetapi sememangnya saya menyukai gaya hidup dan amalan budaya mereka seperti tarian serta kelazatan makanan.

“Ini kali pertama saya datang menyambut festival di sini sebab jika tahun sebelum ini saya bersama isteri akan ke Jepun untuk melihat suasana sebenar Bon Odori di sana.

“Namun, di Malaysia ia tetap disambut dalam suasana meriah dengan kehadiran ramai pengunjung pelbagai bangsa,” kata Pengurus Periklanan Digital itu yang sudah menetap di ibu kota hampir lapan bulan.

Isterinya, Kseniia Shigova, 27, memuji inisiatif penganjuran festival terbesar dunia yang disambut di luar Jepun melalui jalinan kerjasama Kerajaan Selangor dan Kelab Jepun Kuala Lumpur.

Katanya, ia sebagai medium mempromosi kebudayaan Jepun khususnya terhadap masyarakat tempatan di negara ini termasuk pelancong asing lain sepertinya.

“Mereka (penganjur) menyediakan perkhidmatan yang cukup baik untuk kita semua menikmati festival tradisional ini.

“Bukan sahaja masuk percuma tetapi ia memberi kepuasan kepada semua untuk merasai pengalaman menakjubkan,” katanya yang anggun mengenakan Yukata ungu lengkap berkasut tumit datar.

Selain berpeluang mengenali lebih dekat cara hidup rakyat dari negara matahari terbit itu seperti tarian tradisional, nyanyian dan persembahan kostum, festival berkenaan turut menampilkan lebih 40 gerai makanan dan minuman Jepun.


Pengarang :