SELANGOR

Buang sisa makanan, lelaki warga asing ditahan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 4 JULAI: Tindakan tidak bertanggungjawab seorang lelaki warga asing membuang sampah sisa makanan perniagaan mengundang padah apabila ditahan penguat kuasa Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Sabtu lalu.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, sepasukan anggota penguat kuasa melakukan intipan berjaya menahan lelaki terbabit yang memandu kereta Proton Iswara ketika leka membuang sampah berupa sisa makanan di Jalan SP1 Bandar Saujana Putra tanpa menyedari perbuatannya sedang dirakam.

“Hasil soal siasat terhadap lelaki berkenaan, dia hanya seorang pekerja dan majikannya sebelum ini sudah dikenakan tindakan notis kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Penjaja MDKL 2007 kerana meninggalkan peralatan selepas waktu perniagaan dengan menyita sebuah lori.

“Antara kesalahan lain juga didapati peniaga terbabit tidak memiliki lesen perniagaan daripada MDKL,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Zain berkata, lelaki terbabit dikenakan notis kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil 4, Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan Dan Pelupusan Sampah Sarap MDKL 2007 atas kesalahan membuang sampah di tempat yang tidak dibenarkan.

Katanya, kereta berkenaan disita di bawah Undang-Undang Kecil 21(1), Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan Dan Pelupusan Sampah-Sarap MDKL 2007.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencemarkan alam sekitar dan tindakan lebih tegas akan diambil terhadap mereka ini hingga ke tahap pendakwaan di mahkamah,” katanya.

Pada masa sama, beliau kesal terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab dengan membuang sampah tanpa memikirkan kesan dan akibat terhadap alam sekitar.

“Saya mengajak seluruh masyarakat khususnya penduduk di daerah Kuala Langat bekerjasama dengan MDKL dalam memelihara dan menjaga alam sekitar dengan menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti pembuangan sampah haram ini,” katanya.


Pengarang :