Selangorkini
NASIONAL

Budak perempuan jual jajan untuk sara keluarga dibantu LZS

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 13 JUL : Nasib malang seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang terpaksa menjaja demi membantu keluarga mencari sesuap nasi terbela selepas berjaya dikesan pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) baru-baru ini.

LZS dalam kenyataan di Facebook berkata, pihaknya kemudian menyerahkan wang tunai sebanyak RM500 kepada kanak-kanak tersebut untuk perbelanjaan sementara.

Katanya, siasatan LZS mendapati kanak-kanak perempuan itu menjaja makanan ringan di sebuah pasar raya dekat Rawang kerana ibunya mengalami masalah tekanan jiwa.

“Kanak-kanak berkenaan mempunyai empat adik beradik, sementara kakak yang sulung berusia 16 tahun terpaksa berhenti sekolah dan perlu menguruskan keperluan rumah seperti memasak, menjaga ibu serta adik-adik.

“Dia akan mula menjaja selepas pulang dari sekolah sesi pagi dan berniaga sehingga lewat malam,” kata kenyataan itu.

Susulan kejadian berkenaan, LZS akan menguruskan bantuan kewangan bulanan, bantuan sewa rumah, bantuan pendidikan dan keperluan lain bagi memastikan keluarga tersebut dapat hidup selesa dan terjamin.

“Wang tunai RM500 juga telah diserahkan untuk perbelanjaan sementara waktu. Semoga ada sinar harapan masa hadapan yang lebih terjamin buat anak-anak ini,” katanya.


Pengarang :