NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Bursa Malaysia dibuka lebih rendah hari ini ketika para pelabur mula meneliti kedudukan masing-masing dalam indeks petunjuk utama itu yang menyaksikan aktiviti belian ketara serta kebanyakan indeks global lainnya.

Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.38 mata kepada 1,687.67 daripada paras 1,690.05 sewaktu ditutup pada Rabu.

Sewaktu dibuka, indeks susut 1.40 mata kepada 1,688.65.

Bagaimanapun, sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 145 berbanding 74 manakala 162 kaunter tidak berubah, 1,459 tidak diniagakan dan 21 lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 153.37 juta unit bernilai RM36.64 juta.

Sementara itu, Malacca Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan pula mengunjurkan kenaikan FBM KLCI dan indeks-indeks global baru-baru ini tidak lagi ketara berikutan jangkaan bahawa dasar-dasar monetari yang lebih longgar oleh bank pusat tertentu bagi menampan keadaan ekonomi yang perlahan serta sambungan semula rundingan perdagangan AS-China.

“Berikutan itu, kita menjangkakan ini akan mencetuskan peningkatan sikap lebih berhati-hati dan ketidaktentuan dagangan yang menyaksikan pegangan ekuiti dikurangkan,” katanya.

Menurut firma penyelidikan itu, paras meningkat FBM KLCI dijangka sekitar 1,700 dan 1,710 manakala tahap rintangan pada 1,686 dan 1,680.

Dalam pada itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut dua sen kepada RM8.95 manakala Public Bank dan Tenaga masing-masing turun empat sen kepada RM22.96 dan RM14.20, Petronas Chemicals susut tiga sen kepada RM8.57 manakala CIMB turun satu sen kepada RM5.35.

Bagi saham aktif, Sumatec, KNM dan Bumi Armada masing-masing menokok setengah sen kepada empat sen, 30 sen dan 22 sen, Handal naik tiga sen kepada 47 sen manakala XOX tidak berubah pada lima sen.

Selain itu, Hong Leong Bank mendahului senarai kaunter rugi apabila rugi 14 sen kepada RM18.96.

Indeks FBM Emas merosot 6.48 mata kepada 11,928.59 dan indeks FBMT 100 susut 9.06 mata kepada 11,768.16.

Bagi Indeks FBM Emas Shariah, ia turun 1.54 mata kepada 12,327.55, FBM 70 meningkat 19.21 mata kepada 14,886.73 dan FBM Ace menokok 23.99 mata kepada 4,607.63.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 25.19 mata kepada 16,785.77 dan Indeks Produk & Perkhidmatan Industri kehilangan 0.16 mata kepada 162.12.

Indeks Perladangan sebaliknya meningkat 5.72 mata kepada 6,958.25.

-BERNAMA


Pengarang :