AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Saham di Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini seiring dengan prestasi lemah indeks global serta kebimbangan pelabur terhadap kebuntuan rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China.

Pada 9.02 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.71 mata kepada 1,656.82 selepas turun 11.41 mata kepada 1,657.53 pada paras penutup semalam.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatas kaunter untung sebanyak 91 berbanding 80, manakala 163 kaunter tidak berubah, 1,557 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 91.98 juta unit bernilai RM29.80 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata pasaran meneruskan aliran menurunnya hari ini terutamanya di pasaran utama dalam keadaan sentimen negatif di pasaran luar negara apabila AS mengancam untuk memburukkan lagi perang perdagangannya dengan China dengan mengenakan lebih banyak tarif ke atas barangan China yang memasuki negara itu.

Firma penyelidikan tersebut juga berkata sentimen perdagangan negatif itu juga menyebabkan indeks serantau turut jatuh susulan kebimbangan terhadap penguncupan pendapatan korporat Amerika berikutan kenyataan terbaharu oleh AS itu.

“Dalam keadaan sekarang, trend penstabilan FBM KLCI dijangka berterusan memandangkan masih ada lagi beberapa petanda pemulihan. Oleh itu indeks masih lagi dalam proses penyesuaian daripada situasi peningkatan harga selepas naik lebih daripada 7.0 peratus dalam masa enam minggu.

“Bagaimanapun, penstabilan ketika ini telah membolehkan penilaiannya kembali ke jajaran 14x-17x,” kata firma penyelidikan itu.

Axiata menerajui kaunter rugi dalam kalangan saham wajaran tinggi apabila ia jatuh sembilan sen kepada RM5.05, Genting Malaysia turun tiga sen kepada RM3.35, Dialog susut dua sen kepada RM3.48 manakala Digi, Sime Darby dan Top Glove semuanya berkurangan satu sen masing-masing kepada RM4.92, RM2.19 dan RM4.59.

Dalam kalangan kaunter rugi, Nestle turun 10 sen kepada RM147.00, Vitrox susut lima sen kepada 55 sen, Yinson dan Gabungan Aqrs berkurangan tiga sen setiap satu masing-masing kepada RM7.11 dan RM1.46 manakala Kerjaya Prospect dan MyEG jatuh dua sen masing-masing kepada RM1.45 dan RM1.55.

Indeks FBM Emas turun 5.45 mata kepada 11,772.13 dan Indeks FBMT 100 susut 5.31 mata kepada 11,596.24.

Indeks FBM Emas Shariah jatuh 9.55 mata kepada 12,1396.31, FBM 70 berkurangan 8.09 mata kepada 14,845.19 dan FBM Ace susut 13.91 mata kepada 4,655.60.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 9.69 mata kepada 16,621.24, Indeks Perladangan naik 16.60 mata kepada 6,892.63 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok sedikit sebanyak 0.03 mata kepada 157.60.

-BERNAMA


Pengarang :