AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini

KUALA LUMPUR, 31 JULAI: Harga saham di Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini, berikutan jualan dalam saham wajaran tinggi dengan sentimen pasaran lemah.

Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.35 mata kepada 1,641.34 daripada 1,642.69 dicatatkan pada Isnin.

Penurunan dalam Public Bank menyebabkan indeks komposit susut 1.36 mata, dengan saham perbankan merosot 20 sen kepada RM22.00 selepas 164,900 saham bertukar tangan.

Terdapat 115 kaunter untung dan 120 kaunter rugi, manakala 200 kaunter tidak berubah, 1,505 tidak diniagakan dan 74 yang lain digantung.

Malacca Securities Sdn Bhd, dalam nota, berkata trend konsolidasi di Bursa Malaysia berterusan dengan kekurangan petunjuk, daripada sumber tempatan dan asing.

Ia melihat prospek dalam masa terdekat kekal tidak berubah dengan jangkaan kepada kecenderungan penurunan.

“Retorik perdagangan baharu oleh Presiden AS Donald Trump dijangka mengekalkan sentimen di bawah kawalan berikutan dilihat rundingan akan berterusan untuk tempoh yang lama dengan tiada pihak dijangka membuat konsesi penting yang juga akan menjadikan kedudukan tidak mencapai kemajuan berlanjutan,” katanya.

Firma penyelidikan itu melihat penurunan dalam masa terdekat dengan paras sokongan kini pada 1,637, diikuti 1,630 mata.

Katanya manakala paras halangan, masing-masing pada 1,650 dan 1,660.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah satu sen kepada RM8.74 dan Tenaga naik 26 sen kepada RM13.88.

Petronas Chemicals dan IHH Healthcare, masing-masing susut tiga sen kepada RM7.54 dan RM5.72.

Daripada saham yang diniagakan secara aktif, Gets Global, Bumi Armada, I-Stone dan KNM, masing-masing meningkat setengah sen kepada 24 sen, 23.5 sen, 19.5 sen dan 42 sen.

Indeks FBM Emas merosot 11.12 mata kepada 11,647.97, FBM Ace susut 2.99 mata kepada 4,731.91, FBM 70 turun 19.05 mata kepada 14,612.98, manakala Indeks FBMT 100 berkurangan 10.74 mata kepada 11,470.41.

Bagaimanapun, Indeks FBM Emas Syariah naik 6.23 mata kepada 12,058.22.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 31.33 mata kepada 6,781.15, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 50.45 mata kepada 16,141.89 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan turun 0.22 mata kepada 155.29.

Bursa tempatan dan anak syarikatnya ditutup semalam sempena pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 negara.

-BERNAMA


Pengarang :