AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, seiring prestasi positif indeks serantau.

Pada 9 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 0.10 mata kepada 1,655.50 selepas ditutup pada 1,655.40 pada Isnin.

Indeks itu dibuka 0.67 mata lebih rendah kepada 1,654.73.

Di papan skor, kaunter untung berjumlah 119 berbanding 49 kaunter rugi manakala 149 kaunter tidak berubah, 1,571 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 64.85 juta unit bernilai RM23.74 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata walaupun indeks di bursa tempatan agak tinggi, namun masih wujud kekurangan petunjuk hala tuju dalam pasaran ekuiti.

“Kami terus berpandangan indeks utama dijangka meningkat perlahan dalam tempoh terdekat, justeru itu, indeks berkenaan mengalami tidak banyak perubahan selepas mencatatkan prestasi kukuh selama enam minggu yang menjadikannya mengalami terlebih beli.

“Sementara itu, penyusutan semula berterusan dijangka berlaku dalam tempoh terdekat memandangkan indeks utama itu dilihat memerlukan sokongan pada paras 1,650, yang dicatatkan semalam. Bagaimanapun, peningkatan semula yang kukuh kekal sukar kerana masih terdapat beberapa petunjuk penting untuk menarik belian baharu,” kata firma penyelidikan itu dalam kenyataan.

Antara saham paling untung dalam kalangan saham berwajaran tinggi ialah IHH yang naik tiga sen kepada RM5.83, Maybank menambah satu sen kepada RM8.83, manakala MISC menokok dua sen kepada RM7.36.

Bagi saham untung, LTKM melonjak 19 sen kepada RM1.33, G3 Global naik tujuh sen kepada RM2.13 dan Scicom meningkat lima sen kepada RM1.01.

Indeks FBM Emas menokok 2.78 mata kepada 11,773.16 dan Indeks FBMT 100 menambah 1.97 mata kepada 11,599.41.

Indeks FBM Emas Syariah naik 9.63 mata kepada 12,166.79, FBM 70 meningkat 7.5 mata kepada 14,899.45 dan FBM Ace menambah 27.25 mata kepada 4,730.58.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 10.89 mata kepada 16,522.94, Indeks Perladangan meningkat 24.66 mata kepada 6,809.50 dan Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.65 mata kepada 156.80.

-BERNAMA


Pengarang :