AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia dijangka cecah 1,700 mata minggu depan

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Bursa Malaysia dijangka meneruskan aliran meningkat minggu depan dan dijangka mencecah 1,700 mata selepas pemulihan yang kukuh pada Jumaat.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Asia Pasifik Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata bagi minggu akan datang, pasaran tempatan dijangka disokong oleh sentimen tempatan dengan pendedahan yang minimum kepada risiko asing.

“Sektor automotif dan media bersedia untuk prospek yang lebih baik minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu baru berakhir, indeks FBM KLCI susut 0.77 peratus kepada 1,656 daripada 1,669 mata.

Bursa tempatan turut dipengaruhi oleh prestasi saham global terutamanya pasaran AS.

Berdasarkan potensi pengurangan kadar faedah dan kenyataan daripada pejabat Rizab Persekutuan pada awal minggu ini mengenai tanda-tanda ekonomi lemah, indeks ekuiti AS mencatatkan pemulihan yang sederhana daripada penurunan sebelum ini.

Bagi minggu baru berakhir, Nazri berkata pasaran tempatan kekal lemah berikutan gelombang pendapatan korporat AS yang menunjukkan keputusan mendatar kepada negatif yang menjejaskan sentimen positif kepada prospek ekonomi.

“Selain pendapatan syarikat yang rendah, pasaran turut menerima kesan daripada kebimbangan mengenai pertikaian perdagangan yang berterusan antara AS dan China, dan data yang lemah dari rantau ini,” katanya.

Bursa Malaysia diniagakan tidak menentu dan meningkat semula pada Jumaat selepas aktiviti pengambilan untung sepanjang minggu ini.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI merosot 11.26 mata kepada 1,658.19 daripada 1,669.45 pada minggu sebelumnya.

Indeks FBM Emas susut 54.03 mata kepada 11,790.22, Indeks FBMT 100 merosot 53.26 mata kepada 11,616.25 dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 77.06 mata kepada 12,164.862.

Indeks FBM Ace naik 24.84 mata kepada 4,674.97 dan FBM 70 menambah 35.46 mata kepada 14,913.03.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 46.31 mata kepada 16,595.80, Indeks Perladangan susut 97.28 mata kepada 6,814.0 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan turun 4.51 mata kepada 156.81.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 15.49 bilion unit bernilai RM9.46 bilion daripada 12.99 bilion unit bernilai RM10.26 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 10.83 bilion saham bernilai RM8.27 bilion berbanding 9.36 bilion saham bernilai RM9.4 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran naik kepada 1.99 bilion unit bernilai RM391.59 juta daripada 1.92 bilion unit bernilai RM411.56 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 2.66 bilion saham bernilai RM486.93 juta daripada 4.53 bilion saham bernilai RM2.55 bilion sebelum ini.
-BERNAMA


Pengarang :