EKONOMI

Bursa Malaysia ditutup positif akhir dagangan pagi

KUALA LUMPUR, 23 JUL: Bursa Malaysia positif pada akhir dagangan pagi berdasarkan jangkaan penurunan kadar faedah oleh Bank Pusat Eropah (ECB) dan Rizab Persekutuan AS.

Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS akan mengadakan mesyuarat dua hari pada 30-31 Julai, manakala ECB akan bermesyuarat pada 25 Julai.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.51 mata kepada 1656.91 selepas ditutup pada 1,655.40 pada Isnin.

Indeks penanda aras yang dibuka 0.67 mata lebih rendah pada 1,654.73, bergerak antara 1,654.02 dan 1,657.67 sepanjang sesi pagi.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 349 berbanding 302, manakala 403 kaunter tidak berubah, 834 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.45 bilion saham bernilai RM835.63 juta.

Seorang peniaga berkata kemungkinan penurunan 25 mata asas (oleh Fed) sudah diambil kira oleh kebanyakan pasaran ekuiti.

“Saham-saham di Eropah juga lebih tinggi semalam selari rancangan ECB untuk mengurangkan kadar faedah sebanyak 10 mata asas pada Khamis ini. Kami melihat pelabur memberi reaksi yang lebih baik terhadap keputusan ini,” kata peniaga berkenaan.

Beliau juga berkata harga minyak mentah yang lebih tinggi ekoran peningkatan ketegangan di Timur Tengah turut memberi sokongan kepada pasaran.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.82 dan Public Bank susut dua sen kepada RM22.86, namun Tenaga naik lapan sen kepada RM13.82 manakala PetChem menokok dua sen kepada RM7.72.

Bagi kaunter paling aktif, Green Packet naik dua sen kepada 52.5 sen, warannya menambah setengah sen kepada 13 sen, namun Vsolar susut satu sen kepada 22 sen.

Indeks FBM Emas menokok 11.03 mata kepada 11,781.41, Indeks FBMT 100 menambah 8.75 mata kepada 11,606.19 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 23.57 mata kepada 12,180.73.

FBM Ace menokok 7.05 mata kepada 4,710.38 manakala FBM 70 naik 3.61 mata kepada 14,895.56.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 16.81 mata kepada 16,517.02, Indeks Perladangan naik 27.99 mata kepada 6,812.83 manakala Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.5 mata kepada 156.20. – BERNAMA


Pengarang :