EKONOMI

Bursa Malaysia ditutup rendah susulan sentimen berhati-hati

KUALA LUMPUR, 29 JUL: Saham-saham di Bursa Malaysia meneruskan penyusutan awal dagangan untuk ditutup rendah hari ini berikutan minat risiko pelabur dijejaskan oleh sentimen berhati-hati di pasaran, kata peniaga.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.27 mata kepada 1,642.69 daripada 1,647.96 yang dicatatkan sewaktu ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks penanda aras itu yang dibuka tidak berubah pada pagi ini, bergerak dalam lingkungan 1,637.25 dan 1,648.71 mata sepanjang tempoh dagangan hari ini.

Sentimen pasaran secara keseluruhannya adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 586 berbanding 297 manakala 401 kaunter lain tidak berubah, 652 tidak didagangkan dan 77 lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.64 bilion unit bernilai RM1.72 bilion daripada 2.56 bilion unit bernilai RM2.05 bilion.

Seorang peniaga berkata sentimen global dijejaskan oleh faktor seperti sambungan rundingan dagangan Amerika Syarikat (AS)-China, jangkaan pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) menurunkan kadar faedah serta laporan bulanan gaji AS yang menyebabkan pelabur lebih berminat untuk berada di luar pasaran.

Mesyuarat dua hari Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS dijadualkan bermula pada 30 Julai dan pihak bank pusat itu sememangnya dijangka mengumumkan potongan kadar faedah iaitu yang pertama dalam tempoh sedekad.

Sentimen sama turut dialami pasaran serantau yang mencatat prestasi menurun dengan pasaran Nikkei 225 Jepun susut 0.19 peratus kepada 21,616.80 manakala Hang Seng Hong Kong merosot 1.03 peratus kepada 28,106.41 dan Indeks Straits Times Singapura turun 0.65 peratus kepada 3,341.74.

Di peringkat tempatan, saham-saham perbankan dan kewangan kebanyakannya turut terjejas dengan Public Bank turun 22 sen kepada RM22.20, RHB Bank rugi 21 sen kepada RM5.44, CIMB susut lima sen kepada RM5.09, Hong Leong Financial berkurangan 10 sen kepada RM18.40 manakala AMMB Holdings kehilangan tiga sen kepada RM4.21 .

Saham berwajaran tinggi menyaksikan IHH Healthcare untung lima sen kepada RM5.75, Petronas Chemicals rugi tiga sen kepada RM7.57 manakala Maybank dan Tenaga masing-masing tidak berubah kepada RM8.73 dan RM13.62.

Bagi saham aktif, Priceworth rugi setengah sen kepada tujuh sen, KNM susut 1.5 sen kepada 41.5 sen manakala Sumatec tidak berubah pada 3.5 sen.

Indeks FBM Emas berkurangan 39.33 mata kepada 11,659.09, Indeks FBMT 100 turun 38.51 mata kepada 11,481.15, Indeks FBM Emas Shariah susut 8.15 mata kepada 12,051.98, FBM 70 merosot 55.85 mata kepada 14,632.03 dan FBM Ace kehilangan 29.87 mata pada 4,734.9 .

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 125.61 mata kepada 16,192.34, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.28 mata kepada 155.51 namun Indeks Perladangan menokok 33.85 mata kepada 6.812.48.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.80 bilion saham bernilai RM1.56 bilion berbanding 1.58 bilion saham bernilai RM1.85 bilion pada Jumaat.

Jumlah waran berkurangan kepada 546.43 juta unit bernilai RM114.57 juta daripada 600.58 juta unit bernilai RM134.35 juta.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan susut kepada 298.56 juta saham bernilai RM53.64 juta berbanding 372 juta saham bernilai RM68.54 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 301.67 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan industri (364.09 juta), pembinaan (160.18 juta), teknologi (109.81 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (39.91 juta), hartanah (123.07 juta), perladangan (31.09 juta), REIT (6.08 juta), dana tertutup (20,000), tenaga (413.54 juta), penjagaan kesihatan (17.18 juta), telekomunikasi dan media (196.47 juta) dan utiliti (10.58 juta).

Bursa tempatan dan anak syarikatnya akan ditutup esok bersempena acara Pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Operasi dagangan akan disambung semula pada Rabu. – BERNAMA


Pengarang :