EKONOMI

Bursa Malaysia ditutup tinggi pada tengah hari

KUALA LUMPUR, 19 JUL: Harga saham di Bursa Malaysia ditutup tinggi pada akhir dagangan pagi susulan keuntungan syarikat bermodal besar dan kecil, yang memberi isyarat mengenai pemulihan yang kukuh.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.99 mata kepada 1656.92 selepas ditutup pada 1,648.93 semalam.

Seorang penganalisis ekuiti berkata Indeks Modal Kecil FBM juga menyaksikan pemulihan, selari keuntungan syarikat bermodal besar yang kembali mengumpul semula kerugian yang dialami baru-baru ini.

“Secara menyeluruh, kami juga menjangkakan harga saham akan meningkat ekoran trend pemulihan,” katanya.

Indeks Modal Kecil FBM meningkat 107.86 mata kepada 13,649.21.

Indeks penanda aras yang dibuka 0.62 mata lebih tinggi pada 1,649.55, bergerak antara 1,649.55 dan 1,658.94 di sepanjang dagangan pagi.

Kedudukan pasaran secara menyeluruh positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 417 berbanding 259, manakala 383 kaunter tidak berubah, 832 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.50 bilion saham bernilai RM683.70 juta.

Kaunter wajaran tinggi yang untung terdiri daripada PChem apabila sahamnya menokok 22 sen kepada RM7.84, Digi menambah dua sen kepada RM4.96, IHH, Maybank dan Sime masing-masing meningkat satu sen kepada RM5.77, RM8.87 dan RM2.24.

Bagi kaunter paling untung, BKawan menokok 24 sen kepada RM16.52, Tenaga dan Petgas masing-masing menambah 18 sen kepada RM13.60 dan RM16.98, HTpadu meningkat 19 sen kepada RM1.15 manakala BAT menokok 12 sen kepada RM30.32.

Indeks FBM Emas menambah 61.39 mata kepada 11,777.64, Indeks FBMT 100 meningkat 59.09 mata kepada 11,603.00 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 86.70 mata kepada 12,152.36 manakala FBM Ace susut 29.17 mata kepada 4,649.78, manakala FBM 70 meningkat 88.27 mata kepada 14,878.26.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 22.35 mata kepada 16,575.02 dan Indeks Perladangan meningkat 27.01 mata kepada 6,848.13 dan Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.67 mata pada tahap 157.00. – BERNAMA


Pengarang :