EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia melangkah ke 2H19 pada kedudukan lebih tinggi

KUALA LUMPUR, 1 JUL: Bursa Malaysia melangkah ke separuh akhir kedua 2019 (2H19) pada kedudukan yang tinggi, dengan pelabur lega terhadap ‘perdamaian’ dalam perang perdagangan US-China.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 7.25 mata kepada 1,679.38 berbanding 1,672.13 pada penutupan Jumaat lepas.

Pada pembukaan, indeks meningkat 2.78 mata kepada 1,674.91.

Kedudukan pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 261 berbanding 36, manakala 151 kaunter tidak berubah, 1,380 tidak diniagakan manakala 18 lagi digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 203.92 juta saham bernilai RM90.39 juta.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata perdamaian yang dicapai antara AS-China itu dijangkakan mendorong peningkatan saham-saham di Bursa Malaysia, yang dilihat sebagai rali kelegaan dengan harapan kedua-dua kuasa ekonomi dunia itu akhirnya dapat mencapai persepakatan.

“Seperti sedia ada, kedudukan itu menjadi penghalang utama dalam prestasi pasaran saham dunia sejak tahun lepas.

“Walaupun belum ada perjanjian perdagangan muktamad, langkah itu masih positif kerana ia berpotensi memecahkan kebuntuan yang boleh diterjemahkan kepada perdagangan global yang lebih kukuh dan peningkatan yang sejajar dalam ekonomi global,” katanya.

Walaupun firma penyelidikan itu menjangkakan ekuiti Malaysia akan lebih teguh dalam jangka masa terdekat, namun peningkatan mungkin terhad ekoran kedudukan FBM KLCI yang sudah pun berada dalam kedudukan yang adil.

“Oleh itu, indeks utama masih boleh mencapai tahap 1,680, paras yang sukar dalam jangka pendek. Bagi kedudukan yang lebih tinggi, rintangan berada pada tahap 1,690,” katanya, sambil berkata sokongan adalah pada antara 1,660 dan 1,650.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing meningkat enam sen kepada RM8.94 dan RM23.06, Tenaga naik 16 sen pada RM14.00, Petronas Chemicals menambah lapan sen kepada RM8.48 manakala CIMB menokok dua sen kepada RM5. 40.

Bagi saham aktif, Armada dan Ekovest masing-masing menokok 1.5 sen kepada 23 sen dan 86.5 sen, KNM menambah dua sen kepada 27.5 sen, IWCITY mengukuhkan tiga sen kepada RM1.09 dan Hibiscus menokok empat sen kepada RM1.11.

Antara 20 saham paling untung, Heineken melonjak 54 sen kepada RM24.00, MPI naik 21 sen kepada RM9.43, Pentamaster meningkat 14 sen kepada RM3.02, manakala Inari dan warannya masing-masing menambah 13 sen pada RM1.73 dan RM1.18.

Indeks FBM Emas melonjak 63.29 mata kepada 11,844.87, Indeks FBMT 100 meningkat 60.43 mata kepada 11,692.09 dan Indeks Syariah FBM Emas menambah 68.44 mata kepada 12,201.39.

FBM 70 melonjak 116.40 mata kepada 14,716.11 dan FBM Ace meningkat 24.06 mata kepada 4,469.51.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 63.58 mata kepada 16,750.19, Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian naik 0.79 dari satu mata kepada 161.51, namun Indeks Perladangan susut 6.82 mata kepada 6,962.08. – BERNAMA


Pengarang :