EKONOMI

Bursa Malaysia raih manfaat penurunan kadar faedah AS

KUALA LUMPUR, 19 JUL: Bursa Malaysia akan menjadi antara pasaran pesat membangun yang meraih manfaat sekiranya Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) (Fed) menurunkan kadar faedah sekurang-kurangnya sekali lagi menjelang akhir 2019, menurut Standard Chartered Bank Malaysia Bhd.

Ketua Pengurusan Produk dan Pelaburan Terurus, Danny Chang berkata, peserta pasaran hampir 100 peratus menjangkakan penurunan sebanyak sekali dan 93 peratus bagi kemungkinan dua kali sebelum akhir tahun ini.

“Sebelum ini, apabila berlaku penurunan kadar faedah Fed yang tidak akan membawa kemelesetan kepada negara itu, seperti yang kita jangkakan, ia memberi impak positif kepada pasaran ekuiti pesat membangun termasuk Bursa Malaysia,” katanya kepada pemberita di luar taklimat Prospek Pasaran Global pada Separuh Kedua 2019 oleh Standard Chartered di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa pasaran pesat membangun di timur laut Asia seperti Hong Kong, China dan Korea Selatan merupakan pihak pertama yang mendapat faedah, diikuti Bursa Malaysia memandangkan penilaian lebih tinggi bursa tempatan dan keadaan semula jadi beta yang rendah.

Beta merupakan penilaian bagi ketidaktentuan atau risiko sistematik berdasarkan keseluruhan pasaran.

Chang berkata perolehan korporat yang rendah di Malaysia apabila meningkat kurang daripada 10 peratus berbanding 11 hingga 12 peratus direkodkan oleh pasaran di timur laut Asia juga menjadikan bursa tempatan agak kurang menarik.

“Bukan dasar kerajaan atau risiko politik yang menjejaskan Bursa Malaysia tetapi ia kerana pasaran ekuiti tempatan masih mahal berbanding yang lain,” katanya.

Beliau berkata nisbah harga kepada pendapatan (P/E) bagi penanda aras, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada masa ini berada kira-kira 16 hingga 17 kali, lebih tinggi berbanding nisbah P/E di pasaran timur laut Asia iaitu 10 hingga 11 kali.

Mengenai pelarasan kadar dasar semalaman (OPR), beliau berkata Standard Chartered menjangkakan Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar itu pada paras semasa 3.00 sehingga akhir tahun ini.

“Ekonomi negara ini tidak lembap sehingga perlu mendorong bank pusat melaksanakan pengurangan kadar faedah serta-merta lagi selepas penurunan 25 mata asas pada Mei lepas,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata bank pusat boleh mengurangkan kadar itu sekiranya ia mahu dengan didorong terutamanya kadar inflasi dalam negara yang rendah.

Mengenai prestasi ringgit, Standard Chartered menjangkakan mata wang tempatan diniagakan pada paras 4.15 berbanding dolar AS sebelum akhir 2019 walaupun mata wang negara maju itu dijangkakan lemah berikutan pengurangan kadar faedah oleh Fed.

Chang berkata unjuran lemah itu dibuat setelah menjangkakan aliran masuk asing lebih rendah berbanding pasaran timur laut Asia.

“Laporan mengenai bon Malaysia akan dikeluarkan daripada Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) oleh FTSE Russell pada April tahun ini juga menyebabkan beberapa halangan dalam aliran masuk asing,” katanya.

Dari segi peringkat global pula, Standard Chartered berkata global masih terus mengutamakan ekuiti berbanding bon, serta bon korporat dan pasaran pesat membangun daripada bon kerajaan pasaran maju.

“Bagi ekuiti, mereka cenderung kepada pasaran ekuiti AS,” menurut bank itu dalam kenyataan hari ini. – BERNAMA


Pengarang :