EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia rendah pada tengah hari

KUALA LUMPUR, 11 JUL: Saham-saham di Bursa Malaysia rendah pada akhir dagangan pagi, walaupun aktiviti pembelian bagi produk perindustrian dan sektor perkhidmatan agak menggalakkan.

Pada 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.19 mata kepada 1,676.78 daripada 1,678.97 semasa ditutup pada Rabu.

Indeks bergerak antara 1,675.97 dan 1,681.78 sepanjang sesi dagangan pagi.

Kedudukan pasaran bagaimanapun positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 403 berbanding 297, manakala 390 kaunter tidak berubah, 758 tidak diniagakan dan 19 lagi digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.52 bilion saham bernilai RM968.04 juta.

Prestasi FBM KLCI tidak selari dengan prestasi bursa serantau yang menyaksikan Indeks Straits Times Singapura menokok 0.66 peratus kepada 3,362.63, Nikkei Jepun naik 0.47 peratus kepada 21,635.26 dan Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 1.17 peratus kepada 28,533.82.

Public Investment Bank Bhd dalam nota berkata Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat Jerome Powell dipetik sebagai berkata “ketidaktentuan mengenai unjuran telah meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini dari segi ekonomi domestik’’.

Ia turut menyediakan sedikit perlindungan kepada pembuat dasar untuk mengurangkan kadar sekurang-kurangnya sebanyak 25 mata asas pada akhir mesyuarat dasar selama dua hari mulai 30 Julai.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank, MAHB dan Axiata masing-masing tidak berubah pada RM8.94, RM8.80 dan RM5.18 manakala Tenaga dan Kumpulan PPB masing-masing turun enam sen kepada RM13.68 dan RM18.66.

Sementara itu, MISC naik lima sen kepada RM7.28.

Bagi saham aktif, KNM menokok satu sen kepada 32 sen, UWC Bhd naik sembilan sen kepada RM1.49, My E.G. meningkat tiga sen kepada RM1.49, Dolomite naik lima sen kepada 22.5 sen dan Ikhmas Jaya menokok dua sen kepada 28 sen.

Indeks FBM Emas merosot 1.78 mata kepada 11,878.16 dan Indeks FBMT 100 turun 5.06 mata kepada 11,708.5.

Indeks FBM Emas Syariah naik 3.58 mata kepada 12,263.01, FBM 70 meningkat 35.3 mata kepada 14,877.52 dan FBM Ace naik 30.62 mata kepada 4,638.56.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 23.04 mata kepada 16,744.71, Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian turun 0.11 mata kepada 161.35, dan Indeks Perladangan susut 15.61 mata kepada 6,943.97. – BERNAMA


Pengarang :