AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia rendah pada tengah hari

KUALA LUMPUR, 22 JUL: Bursa Malaysia ditutup rendah pada akhir dagangan pagi hari ini susulan persekitaran pasaran yang diniagakan dalam kedudukan berhati-hati, kata seorang peniaga.

Antara lain, beliau berkata pelabur kini menunggu keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC), yang dijangka dapat menunjukkan pergerakan ke atas kadar faedah AS.

“Mesyuarat FOMC dua hari itu dijadualkan pada 30 dan 31 Julai, dan sehingga itu pasaran mungkin akan terus berhati-hati,” katanya, sambil menambah bahawa Fed bersedia menurunkan kadarnya sebanyak 25 mata asas pada akhir bulan ini.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.56 mata kepada 1652.63 selepas ditutup pada 1,658.19 Jumaat lepas.

Indeks penanda aras, yang dibuka 0.09 mata lebih tinggi pada 1,658.28, bergerak antara 1,651.40 dan 1,658.28 sepanjang sesi pagi.

Kedudukan pasaran kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 437 berbanding 246, manakala 373 kaunter tidak berubah, 833 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.59 bilion saham bernilai RM679.46 juta.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga masing-masing susut dua sen kepada RM8.85 dan RM13.62, PetChem turun lapan sen kepada RM7.73 manakala Public Bank tidak berubah pada RM22.88.

Bagi saham aktif, Baba Eco yang baru disenarai di Pasaran LEAP, meningkat tiga sen kepada 16 sen, Green Packet menambah setengah sen kepada 12.5 sen, Sapura Energy turun setengah sen kepada 30.5 sen dan KNM susut satu sen kepada 36 sen.

Indeks FBM Emas merosot 35.30 mata kepada 11,475.92, Indeks FBMT 100 turun 35.51 mata kepada 11,580.74 manakala Indeks FBM Emas Syariah merosot 42.19 mata kepada 12,122.67.

Sementara itu, FBM Ace meningkat 37.65 mata kepada 4,712.62 namun FBM 70 turun 31.62 mata kepada 14,881.41.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 54.79 mata kepada 16,541.09, Indeks Perladangan susut 50.55 mata kepada 6,763.45 manakala Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian turun 0.65 mata kepada 156.16. – BERNAMA


Pengarang :