Ringgit

Bursa Malaysia rendah pada tengah hari

KUALA LUMPUR, 26 JUL : Bursa Malaysia berada dalam kedudukan negatif pada akhir dagangan pagi, selari dengan laporan pendapatan Amerika Syarikat (AS) yang rendah dan keputusan Bank Pusat Eropah (ECB) untuk mengekalkan kadar faedahnya.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 6.90 mata kepada 1649.68 daripada 1,656.58 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks penanda aras, yang dibuka 2.84 mata lebih rendah pada 1,653.74, bergerak antara 1,649.22 dan 1,653.77 sepanjang sesi dagangan pagi.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 436 berbanding 253, manakala 370 kaunter tidak berubah, 869 tidak diniagakan dan 25 lagi digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.38 bilion saham bernilai RM905.96 juta.

Seorang peniaga berkata bursa tempatan dan bursa serantau akan terus didagangkan pada aliran menurun dipengaruhi oleh keadaan tidak menentu menjelang perjumpaan antara wakil AS dan China.

“Perunding perdagangan Amerika akan ke China untuk cuba menyelesaikan perbezaan pendapat mereka iaitu berhubung perdagangan dan teknologi dan geopolitik,” katanya.

Beliau berkata pasaran hari ini turut memberi tindak balas negatif selepas ECB memutuskan untuk mengekalkan kadar faedahnya.

Pelabur menjangkakan ECB mengurangkan kadar faedahnya berikutan kelembapan ekonomi, katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut satu sen kepada RM8.74, Public Bank turun 16 sen kepada RM22.52, Tenaga jatuh empat sen kepada RM13.70 dan PetChem turun lima sen pada RM7.60.

Bagi saham aktif, Only World naik lapan sen kepada 24.5 sen, Genting Malaysia melonjak 19 sen kepada RM3.86 dan Netx tidak berubah pada 1.5 sen.

Indeks FBM Emas turun 48.36 mata kepada 11,714.96, Indeks FBMT 100 susut 48.21 mata kepada 11,537.69 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 62.99 mata kepada 12,075.05.

FBM Ace turun 38.83 mata kepada 4,728.28 dan FBM 70 susut 61.16 mata kepada 14,735.47.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 76.10 mata kepada 16,355.59, Indeks Perladangan turun 79.33 mata kepada 6,767.27 dan Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian susut 0.65 mata kepada 155.56. -BERNAMA


Pengarang :