NASIONAL

Bursa Malaysia rendah pada tengah hari

KUALA LUMPUR, 5 JUL: Bursa Malaysia meneruskan aliran menurunnya pada akhir dagangan pagi hari ini, diheret turun oleh jualan berterusan dalam kalangan saham mewah terpilih, apabila pelabur terus membuat keuntungan sebelum hujung minggu selepas peningkatan harga baru-baru ini.

Pada 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 8.67 mata kepada 1,678.81 berbanding 1,687.48 pada penutupan Khamis.

Indeks bergerak antara 1,678.13 dan 1,687.60 pada sesi pagi.

Jumlah dagangan kekal negatif dengan 264 kaunter rugi berbanding 439 kaunter untung, manakala 376 kaunter tidak berubah, 768 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.52 bilion unit bernilai RM774.40 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata rali baru-baru ini sudah berlalu, selepas indeks utama meraih keuntungan kira-kira lapan peratus daripada paras terendah dalam tempoh setahun pada bulan lepas.

“Kami jangkakan pemulihan itu mencerminkan prospek asas korporat Malaysia tahun ini, yang juga menyebabkan ia terlebih beli,” katanya dalam nota hari ini.

Bagi saham wajaran tinggi, Axiata dan AMMB masing-masing susut enam sen kepada RM5.20 dan RM4.35, Maxis dan MISC masing-msing turun lima sen kepada RM5.65 dan RM7.22, manakala Maybank merosot tiga sen kepada RM8.95.

KNM mengekalkan kedudukannya sebagai kaunter paling aktif didagangkan sejak pembukaan, mengutip dua sen kepada 32 sen, Green Packet dan Prestariang menambah setengah sen kepada 39 sen dan 48.5 sen, Iris menokok setengah sen kepada 15 sen, manakala Sumatec merosot setengah sen kepada tiga sen.

Tenaga menjadi kaunter paling rugi apabila sahamnya merosot 56 sen kepada RM13.58 dan warannya turun 11 sen kepada sembilan sen.

Ini diikuti Carlsberg yang rugi 26 sen kepada RM25.24, BAT turun 18 sen kepada RM29.00 dan Petronas Dagangan susut 10 sen pada RM25.60.

FBM 70 merosot 29.25 mata kepada 14,909.15, Indeks FBMT 100 turun 51.61 mata kepada 11,725.23, namun FBM Ace menokok 26.06 mata kepada 4,649.12.

Indeks FBM Emas turun 49.02 mata kepada 11,889.91 manakala Indeks FBM Emas Shariah susut 69.09 mata kepada 2,265.20.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 11.68 mata kepada 16,770.96 dan Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian turun 0.27 mata kepada 162.17.

Indeks Perladangan bagaimanapun meningkat 26.81 mata kepada 6,970.28. – BERNAMA


Pengarang :