EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia susut tetapi kekal di atas paras 1,690

KUALA LUMPUR, 3 JUL: Bursa Malaysia berjaya kekal di atas paras sokongan 1,690 meskipun terjejas disebabkan oleh data lemah sektor perkhidmatan China, aktiviti pengambilan untung serta penurunan harga minyak mentah.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup pada paras harian tertingginya pada 1,690.05, walaupun indeks utama itu 0.95 mata atau 0.06 peratus lebih rendah berbanding paras penutup 1,691.0 pada Selasa.

Penganalisis Kanan Malacca Securities Sdn Bhd Kenneth Leong berkata aliran menurun sederhana di bursa tempatan itu juga sejajar dengan prestasi bursa serantau lain berikutan kebimbangan pelabur di tengah-tengah ketidaktentuan perdagangan.

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Caixin/Markit China turun daripada 52.7 pada Mei kepada 52.0 pada Jun, paras terendah dalam tempoh empat bulan.

Jumlah dagangan yang diurus niaga tinggi sebanyak 3.01 bilion unit bernilai RM1.82 bilion daripada 2.82 bilion unit bernilai RM2.56 bilion pada Selasa.

Suasana pasaran kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 456 berbanding 395 manakala 420 kaunter tidak berubah, 569 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Indeks petunjuk pasaran itu bergerak antara paras 1,683.24 dan 1,690.05 sepanjang hari dagangan.

Di peringkat serantau, Indeks Singapore Straits Times berkurangan 0.09 peratus kepada 3,367.80, Nikkei Jepun turun 0.53 peratus kepada 21,638.16 dan Indeks Hang Seng Hong Kong jatuh 0.07 peratus kepada 28,855.14.

Mengulas mengenai prestasi saham mewah perbankan yang mencatatkan penurunan dalam 30 kaunter FBM KLCI, Leong berkata ia hanya sekadar penurunan sederhana ekoran kenaikan baru-baru ini dalam sektor tersebut.

“Sebagai contoh, kita melihat CIMB mencatatkan pemulihannya sejak seminggu dua lepas, jadi penurunan yang dilihat hari ini adalah normal; ia hanya pengunduran sederhana,” katanya kepada Bernama semasa dihubungi hari ini.

Pada sesi penutup, CIMB kekal kaunter rugi utama dalam kalangan saham wajaran berat berkaitan kewangan, turun lapan sen kepada RM5.36, diikuti Maybank yang turun satu sen kepada RM8.97, Hong Leong Bank yang jatuh empat sen kepada RM19.10 dan RHB Bank yang berkurangan dua sen kepada RM5.77.

Sementara itu, mengenai prospek bagi pasaran saham tempatan, Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Asia-Pasifik Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan mengunjurkan FBM KLCI berada dalam aliran tinggi berikutan keyakinan terhadap penyelesaian pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China terutamanya menjelang cuti Hari Kemerdekaan AS (4 Julai).

“Di dalam negara, ekonomi digital Malaysia terus menarik minat daripada pelabur antarabangsa, yang sejajar dengan inisiatif kerajaan untuk menjadikan negara sebagai hab teknologi dan digital ASEAN,” katanya.

Dalam kalangan kaunter cergas, Sumatec naik 2.5 sen kepada 3.5 sen manakala KNM susut setengah sen kepada 29.5 sen dan warannya tidak berubah pada 13 sen.

Borneo Oil dan Sapura Energy tidak berubah masing-masing pada 4.5 sen dan 30.5 sen.

Carlsberg menerajui senarai kaunter rugi, jatuh 46 sen kepada RM25.50, manakala Chin Teck turun 26 sen kepada RM6.54, BAT susut 14 sen kepada RM28.80, Time Dotcom berkurangan 13 sen kepada RM8.97 dan Guan Chong jatuh 12 sen kepada RM3.45.

Indeks FBM Emas berkurangan 5.68 mata kepada 11,935.07, Indeks FBMT 100 turun 6.85 mata kepada 11,777.22 dan FBM 70 susut 9.62 mata kepada 14,867.52.

Indeks FBM Emas Shariah naik 7.25 mata kepada 12,326.01 dan FBM Ace berkurangan 60.75 mata kepada 4,583.64.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 38.35 mata kepada 16,810.96 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.73 mata kepada 162.28. Bagaimanapun, Indeks Perladangan meningkat 11.66 mata kepada 6,952.53.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 2.30 bilion saham bernilai RM1.67 bilion daripada 2.03 bilion saham bernilai RM2.38 bilion pada Selasa.

Bagaimanapun, jumlah dagangan waran turun kepada 346.48 juta unit bernilai RM72.34 juta daripada 423.88 juta unit bernilai RM77.01 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 361.58 juta saham bernilai RM74.08 juta berbanding 358.50 juta saham bernilai RM103.32 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 244.66 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (230.85 juta), pembinaan (112.92 juta), teknologi (137.25 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (37.80 juta), hartanah (95.99 juta), perladangan (9.03 juta), REITs (17.22 juta), dana tertutup (19,000), tenaga (1.19 bilion), penjagaan kesihatan (31.22 juta), telekomunikasi dan media (73.47 juta), pengangkutan dan logistik (102.04 juta) dan utiliti (14.13 juta). – BERNAMA


Pengarang :