EKONOMI

Bursa Malaysia terus rendah pagi ini

KUALA LUMPUR, 15 JUL : Saham di Bursa Malaysia terus rendah pada pagi ini, bagaimanapun pasaran menjangka aktiviti belian saham semasa harga rendah dalam masa terdekat, sejajar dengan peningkatan di Wall Street pada akhir minggu lepas.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 1.32 mata kepada 1,668.13 daripada 1,669.45 semasa ditutup pada Jumaat, selepas dibuka tinggi 1.14 mata kepada 1,670.59 pada awal hari ini.

Bagaimanapun, di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 149 berbanding 68, manakala 185 kaunter tidak berubah, 1,447 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 134.7 juta unit bernilai RM36.80 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd (MSSB) dalam nota berkata pasaran global masih didorong oleh jangkaan mengenai pengurangan kadar faedah AS sebagai langkah awal terhadap ekonomi AS yang perlahan, turut membolehkan saham di Bursa Malaysia pulih dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun, kami berpendapat peningkatan semula itu masih boleh menjadi tentatif buat masa ini berikutan keadaan terlebih beli yang berlarutan. Pemulihan dalam tempoh terdekat akan membolehkan indeks utama berada pada paras 1,676, sebelum melepasi paras 1,680,” katanya.

Paras sokongan, masing-masing berada pada paras 1,660 dan 1,657.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, TNB susut 18 sen kepada RM13.50, Petronas Chemical dan Top Glove, masing-masing berkurangan empat sen kepada RM8.38 dan RM4.69, Axiata merosot satu sen kepada RM5.17 dan AmBank turun tiga sen kepada RM4.28.

Daripada saham aktif, Sumated menambah satu sen kepada 3.5 sen, Eden menokok dua sen kepada 19 sen, Karex naik empat sen kepada 61.5 sen, bagaimanapun Netx susut setengah sen kepada 1.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 14.85 mata kepada 11,859.10 dan Indeks FBMT 100 naik 0.03 mata kepada 11,669.54.

Indeks FBM Emas Syariah naik 7.54 mata kepada 12,249.46, FBM 70 meningkat 37.51 mata kepada 14,915.08 dan FBM Ace menambah 5.43 mata kepada 4,655.56.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 26.38 mata kepada 16,668.57, Indeks Perladangan menambah 1.88 mata kepada 6,913.16, bagaimanapun Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.16 mata kepada 161.16.

-BERNAMA


Pengarang :