NASIONAL

Bursa Malaysia teruskan prestasi lemah

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Saham di Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini meneruskan penurunan berturut-turutnya dengan belum ada lagi sebarang petanda pemulihan di FBM KLCI.

Kecenderungan menurun itu dijangka berterusan dalam tempoh terdekat ini.

Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.21 mata kepada 1,666.73 selepas turun 3.43 mata kepada 1,668.94 pada paras penutup semalam.

Indeks itu dibuka rendah turun 1.44 mata kepada 1,667.50 pada awal hari ini.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 150 berbanding 79, manakala 178 kaunter tidak berubah, 1,449 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 326.56 juta unit bernilai RM94.63 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata indeks utama itu masih dalam fasa penstabilan selepas mencatatkan kenaikan kukuh dalam tempoh Mei-Jun.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata pasaran juga menjangkakan beberapa petunjuk baharu, dalam dan luar negara, yang akan merangsang belian baharu tetapi ini dijangka sekali lagi menyebabkan indeks utama itu terus turun.

“Selain itu, terdapat juga kebimbangan terhadap hala tuju ekuiti global selepas ia melonjak lebih 16 peratus setakat ini yang menjadikan penilaian meningkat,” kata firma itu.

Dengan penstabilan dijangka berterusan dalam tempoh terdekat ini, paras sokongan FBM KLCI dijangkakan pada 1,665, diikuti paras 1,660 manakala paras ketahanan pada 1,676 dan 1,680.

TNB menerajui kaunter saham rugi dalam kalangan kaunter wajaran tinggi dengan susut sebanyak 10 sen kepada RM13.68, IHH turun tiga sen kepada RM5.77, Press Metal berkurangan enam sen kepada RM4.33 dan Petronas Chemicals serta Genting Malaysia susut dua sen setiap satu masing-masing kepada RM8.22 dan RM3.37.

Dalam kalangan kaunter rugi, HSS Engineers dan Hong Leong Financial jatuh enam sen setiap satu masing-masing kepada RM1.13 dan RM18.62, Pos Malaysia susut lima sen kepada RM1.76 manakala Teck Guan, Vitrox dan MCE semuanya berkurangan empat sen masing-masing kepada RM1.09, RM6.85 dan 65 sen.

Indeks FBM Emas turun 15.48 mata kepada 11,841.80 manakala Indeks FBMT 100 jatuh 15.23 mata kepada 11,665.26.

Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 25.21 mata kepada 12,233.48, FBM 70 turun 18.52 mata kepada 14,932.16 dan FBM Ace susut 11.50 mata kepada 4,689.23.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 6.02 mata kepada 16,621.24, Indeks Perladangan naik 1.50 mata kepada 6,887.15. tetapi Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.34 mata kepada 159.87.

-BERNAMA


Pengarang :