NASIONAL

Cabaran baharu, peluang untuk semakin baik – Wan Azizah

 

KUALA LUMPUR, 4 JUL : Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa para penjawat awam di negara ini supaya melihat cabaran-cabaran dan gangguan-gangguan baharu bukan sebagai satu ancaman tetapi sebagai peluang-peluang yang perlu direbut untuk terus bertambah baik dan berinovasi dalam perkhidmatan awam.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata dengan teknologi, banyak pekerjaan yang sebelum ini hanya boleh dilakukan secara manual, sudah boleh diautomasikan, yang memberi ruang kepada penjawat awam untuk memberi lebih tumpuan kepada penyelesaian masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat dan negara.

“Perkhidmatan awam terus berdepan dengan cabaran-cabaran dan gangguan-gangguan berikutan kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi baharu, khususnya permintaan yang datang bersama-sama dengan Revolusi Industri Keempat dan Ekonomi Digital.

“Kita tidak dapat lari daripada ombak perubahan ini, dan sama ada kita bersedia atau tidak, teknologi-teknologi ini akan kekal berada di sini,” kata beliau pada Persidangan Perkhidmatan Awam ke-18 di sini hari ini.

Dr Wan Azizah menggariskan bahawa teknologi digital akan membolehkan pembangunan kemahiran yang berterusan dan penciptaan amalan-amalan pekerjaan yang baharu, model-model perniagaan baharu dan cara memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat pada masa kini dan akan datang.

“Justeru, sebagai penjawat awam, kita perlu merebut peluang-peluang yang disediakan oleh teknologi bagi mencapai pembangunan berterusan dan inklusif untuk semua,” kata beliau.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Dr Wan Azizah menyatakan bahawa perkhidmatan awam Malaysia turut merangkumi mereka yang berkhidmat dalam pasukan berpakaian seragam.

“Saya telah bertanya kepada perkhidmatan awam, apa yang membentuk perkhidmatan awam? (Ini kerana) perkhidmatan awam kita termasuk mereka yang berpakaian seragam juga, yang mana saya fikir jika kita keluarkan mereka daripada perkhidmatan awam, populasi (saiz) perkhidmatan awam kita tidaklah seburuk mana.

“Jadi, sebagai perbandingan, saya fikir adalah tidak adil untuk mengatakan bahawa mereka tidak berjaya,” katanya ketika diminta mengulas laporan Bank Dunia yang mengkiritik perkhidmatan awam negara.

-BERNAMA

 

 


Pengarang :