SUKANKINI

Copa America 2019: Brazil ke final kali ke-20

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 JULAI: Brazil melangkah ke pentas akhir Copa America 2019 selepas mudah menewaskan Argentina 2-0, pada peringkat separuh akhir hari ini.

Beraksi di Stadium Mineirao, tuan rumah menguji gawang Argentina menerusi rembatan Roberto Firmino pada minit kedua tetapi beliau terlebih dahulu berada dalam keadaan offside.

Pada minit ke-12, Leandro Daniel Paredes menguji gawang Brazil yang dikawal Alisson Becker menerusi rembatan dari jarak 30 meter tetapi tidak menepati sasaran.

Gawang Argentina akhirnya bolos pada minit ke-19 hasil jaringan Gabriel Jesus selepas mudah merembat masuk hantaran Firmino ke dalam kotak penalti.

Masuk babak kedua, Brazil menggandakan jaringan 2-0 menerusi Firmino, pada minit ke-71.

Bermula dengan gerakan Gabriel Jesus, beliau memperdaya dua pertahanan Argentina sebelum melorongkan bola kepada Firmino mudah menolak masuk bola ke gawang.

Argentina cuba bangkit menerusi sepakan percuma Lionel Messi tetapi Alisson lebih bersedia menangkap kemas percubaan pemain Barcelona itu

Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan ini merupakan penampilan ke-20 Brazil di pentas akhir Copa America.

Brazil akan bertemu pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara Chile dan Peru pagi esok.

Foto kredit: Facebook Copa America


Pengarang :