Program Bank Makanan Malaysia memberi manfaat kepada golongan B40. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

CPI naik 1.5 peratus pada Jun

KUALA LUMPUR, 24 JUL: Indeks Harga Pengguna (CPI) Malaysia, yang mengukur teras inflasi, meningkat 1.5 peratus pada Jun kepada 121.4 berbanding 119.6 bagi bulan sama tahun lepas.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan (DoS), Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, daripada 552 barang disenaraikan dalam CPI, 381 menunjukkan pertumbuhan positif bagi Jun berbanding pada Jun 2018, manakala 131 barang mencatatkan pertumbuhan negatif dan 40 barang kekal tidak berubah.

“Pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada kadar sifar pada 1 Jun 2018 mendorong kepada peningkatan dalam beberapa indeks dalam kumpulan utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata, ini kebanyakannya termasuk perabot dan aksesori, peralatan isirumah dan penyenggaraan rutin isirumah (+3.1 peratus), perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (+2.7 peratus), makanan dan minuman tidak mengandungi alkohol (+2.3 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.3 peratus).

Pada asas bulanan, katanya CPI kekal tidak berubah berbanding pada Mei, manakala CPI bagi suku kedua tahun ini meningkat 0.7 peratus kepada 121.3 berbanding 120.5 pada suku sama tahun sebelumnya.

“Peningkatan itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh indeks perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.0 peratus), makanan dan minuman bukan beralkohol (+1.5 peratus), minuman mengandungi alkohol dan tembakau (+1.5 peratus) dan pendidikan (+1.3 peratus).

“Pada asas suku, CPI meningkat 0.4 peratus berbanding pada suku pertama tahun ini,” katanya.

DoS juga melaporkan CPI bagi negeri-negeri, tiga negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+2.2 peratus), Pulau Pinang (+2.2 peratus) dan Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (+1.7 peratus) mengatasi kadar CPI kebangsaan pada 1.5 peratus bagi Jun berbanding pada Jun 2018, manakala Perak dan Johor menunjukkan peningkatan pada kadar sama dengan CPI kebangsaan.

Menurutnya, semua negeri mencatatkan peningkatan dalam indeks makanan dan minuman tidak mengandungi alkohol.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+4.0 peratus), Pulau Pinang (+2.8 peratus), Perak (+2.7 peratus) dan Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (+2.6 peratus), mengatasi indeks kebangsaan bagi makanan dan minuman tidak mengandungi alkohol bagi Jun tahun ini.

– BERNAMA


Pengarang :