AGENDANASIONAL

CUEPACS diingat henti bela korporat, utama kebajikan belia

SHAH ALAM, 22 JUL: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) ditempelak ekoran pendirian kesatuan itu menolak cadangan mewajibkan bayaran elaun kepada pelajar menjalani latihan praktikal di sektor kerajaan dan swasta.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sudah sampai masanya CUEPACS memikirkan kebajikan belia berbanding ketamakan dan keuntungan syarikat korporat.

“Hanya keluarga berkemampuan dapat akses untuk jalani latihan di syarikat besar, berhentilah hanya membela syarikat korporat tetapi fikirkan nasib anak muda.

“Jika anda hanya memikirkan keuntungan, ketamakan korporat dan lupakan kebajikan anak muda bermakna anda khianati belia Malaysia,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Sukan Negara di Dewan Anjung Sri Budiman, UiTM di sini, hari ini.

Syed Saddiq berkata, pada masa ini terdapat pelajar terpaksa menolak tawaran latihan praktikal di jabatan kerajaan dan syarikat besar di bandar utama kerana tidak mampu membiayai kos sara hidup.

Katanya, peluang menjalani latihan praktikal di organisasi terbabit adalah peluang terbaik untuk golongan terbabit menimba pengalaman sebelum memasuki dunia pekerjaan sebenar.

Syed Saddiq berkata, latihan praktikal juga menjadi syarat wajib untuk pelajar terbabit lulus dalam pengajian masing-masing.

Sebelum ini, CUEPACS menolak cadangan itu dengan melihat pemberian elaun kepada pelajar praktikal tidak wajar kerana ia proses pembelajaran mereka di institusi pengajian tinggi.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)


Pengarang :