BERITA UTAMA SELANGOR

“Cuma fikir mati” luah anggota bomba

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 12 JUL: Anggota Bomba yang tercedera berkongsi detik cemasnya ketika bertugas memadamkan kebakaran membabitkan tiga kilang di Pulau Indah, pada 5 Julai lalu.

Muhammad Ridzuan Kamaruzaman, 28, berkata, beliau bukan sahaja terjatuh dan topi keledar tercabut malah, percikan api dari tiga letupan di kilang itu menyebabkan belakang telinganya cedera.

“Saya bersama tiga rakannya ditugaskan di zon merah iaitu barisan paling hadapan untuk masuk ke premis bagi memadamkan kebakaran dengan menggunakan hos air.

“(Ketika itu) cuma fikir mati. Tiada fikir lain. Saya terbayangkan wajah isteri dan anak saya yang baru berusia enam bulan,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba Pelabuhan Klang, semalam.

Beliau yang merupakan anggota Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) menyifatkan kejadian itu adalah pengalaman kedua terburuk sepanjang bertugas sehingga meninggalkan kesan dalam hidupnya.

“Apabila letupan pertama terjadi, kami masih berada di dalam kilang. Ketika itu puluhan tong racun serangga sudah mula jatuh ke bawah. Apabila letupan kedua berlaku, saya jatuh dan masa itu saya sudah rasa pedih dibahagian telinga.

“Selepas itu, saya merangkak mencari tempat berlindung disebalik tembok dinding kilang bersama tiga lagi anggota, disebabkan itu saya hampir muntah dan pitam.

“Alhamdulillah, saya dipapah keluar oleh komander operasi untuk mendapatkan bantuan di van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Bomba (EMRS),” katanya.

Ridzuan juga masih belum memberitahu keluarganya di kampung halaman tentang kejadian itu kerana enggan mereka risau serta menganggap ia menjadi sebahagian daripada anggota bomba.

Sementara itu, Mohd Shahrul Azuan Salleh, 33, berkata, beliau ditugaskan untuk berada dihadapan dan menjadi ‘nozzleman’ untuk memadam kebakaran itu.

Bagaimanapun, letupan berlaku sebelum beliau sempat menukar nozzle lain kerana mendapati ia longgar dan tidak dapat berfungsi dengan baik.

“Saya merangkak keluar ke hadapan kilang. Alhamdulillah selamat cuma telinga saya rasa berdegung mungkin letupan ketiga itu terlalu kuat. Selepas letupan itulah, kami baru sedar yang kilang bersebelahan itu menyimpan gas ammnonia yang banyak,” katanya.

Kedua-dua anggota bomba itu antara tujuh anggota bomba yang cedera ketika memadamkan kebakaran di tiga kilang, termasuk sebuah kilang racun rumpai, di Pulau Indah.

Dalam insiden sama, seorang lagi anggota terjatuh ketika mengalihkan hos iaitu Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang, Mohd Faizzuan Ayob yang mengalami kecederaan di kaki.

Lima lagi anggota lain, Mohammad Hazreen Mazlan; Mohammed Wahyuddin Mohd Saibani; Mohammad Izwan Salleh; Ahmad Ridzwan Awang dan Mohd Shahrul Azuan Salleh.

Sebuah kilang terbakar 100 peratus manakala dua buah lagi masing-masing terbakar kira-kira 50 peratus.

 

 

 


Pengarang :