AGENDANASIONAL

Daftar SPS sebelum akhir bulan ini-PERKESO

JOHOR BAHRU, 20 JULAI: Semua pemandu perkhidmatan e-hailing, teksi dan bas yang bekerja sendiri diingatkan supaya mendaftar serta mencarum Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) sehingga akhir bulan ini, sebelum ia dikuatkuasakan kepada mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, sehingga 30 Jun lalu hanya 19,148 pemandu di seluruh negara direkodkan sudah mendaftar skim berkenaan.

Katanya, daripada jumlah itu, hanya lima peratus daripada mereka adalah pemandu bas dari Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia.

“Hanya 967 pemandu daripada hampir 20,000 pemandu bas dari Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia yang berdaftar dan jumlah berkenaan sangat kecil.

“Kami harap lebih ramai akan mendaftar sebelum ia dikuatkuasakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Taklimat dan Pendaftaran SPS untuk Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia.

Turut hadir, Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang; Presiden Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia, Mohd Rofik Mohd Yusof serta Pengerusi Persatuan Pemilik dan Pemandu Bas Sekolah Johor Bahru, Md Saad Mohammad.

Mohammed Azman berkata, pelaksanaan skim berkenaan yang mula diperkenalkan 1 Jun 2017 bertujuan menjaga kebajikan pemandu dan keluarga mereka jika berlaku sesuatu tidak diingini.

“Apa yang disasarkan kami (PERKESO) bukan untuk menyusahkan atau bebankan mereka (pemandu) tetapi hasrat kami murni untuk menjaga kebajikan mereka juga keluarga.

“Kami harap semua pemandu akan tampil sendiri memandangkan hanya tinggal 11 hari lagi sebelum kami laksanakan aktiviti penguatkuasaan secara besar-besaran dan kami sudah beri masa mencukupi iaitu lebih dua tahun,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan seramai 120 pemandu sekitar bandar raya ini akan berdaftar dengan SPS hari ini menerusi sesi penerangan dan tadbir urus yang diadakan.

Katanya, sesi penerangan dan tadbir urus hari ini merupakan peringkat kedua yang diadakan selepas peringkat pertama pada Februari lalu yang menyaksikan 158 pemandu sudah mendaftar dengan SPS.

-BERNAMA


Pengarang :