–fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Dasar tidak menganggap penagih dadah sebagai pesalah jenayah dipuji

NILAI, 10 JUL : Dasar kerajaan untuk tidak lagi melihat penagih dadah sebagai pesalah jenayah yang perlu dihukum menerusi pelaksanaan “ decriminalisation” mendapat pujian Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC).

Penyelidik Bersekutu MASAC Dr Farhana Sabri berkata dasar itu jelas kerana sejak sekian lama Malaysia telah melihat penagih dadah sebagai pesalah jenayah dengan memasukkan mereka ke penjara tanpa rawatan yang sejajarnya bagi menangani masalah ketagihan mereka.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (MOH) bersetuju melaksanakan dasar ‘decriminalisation’ terhadap penagih dadah.

Menerusi dasar itu penagih dadah tidak lagi dilihat sebagai pesalah jenayah sebaliknya memerlukan rawatan dan pemulihan yang melibatkan rawatan dalam komuniti dengan memperkasakan peranan anggota keluarga dan masyarakat,

Dr Farhana berkata perubahan dasar ini menunjukkan bahawa kerajaan kini serius dalam mengakui bahawa ketagihan dadah adalah penyakit yang rumit dan ia harus diperlakukan sebagaimana adanya.

“Kementerian Kesihatan (KKM) menyatakan bahawa ‘decriminalisation’ bermaksud penyingkiran hukuman jenayah bagi individu yang memiliki dan menggunakan sebilangan kecil dadah untuk kegunaan peribadi. Ini jelas tidak termasuk pengedar dadah, yang tetap menjadi kes jenayah,” katanya.

Dr Farhana yang juga Timbalan Pengarah (Penyelidikan) Institut Sains Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan universiti itu berkata bagi melaksanakan dasar ini, rawatan perubatan untuk penagih dadah mesti dilengkapkan dengan rawatan psikososial, yang memerlukan bukan sahaja doktor dan ahli farmasi, tetapi juga ahli psikologi dan kaunselor yang pakar dalam ketagihan dadah.

Katanya Institut Kebangsaan Penagihan Dadah Amerika Syarikat (NIDA), menegaskan bahawa tidak ada satu pun rawatan ketagihan dadah yang boleh disesuaikan dengan masalah ketagihan yang lain.

“Oleh itu, salah satu cara untuk menangani masalah ini adalah dengan melihat ketagihan dadah dari perspektif biologi kerana apabila seseorang itu menggunakan dadah, ia mengubah fungsi biologi otak dan sukar untuk membalikkan perubahan biologi.

“Ini menjelaskan mengapa ketagihan dadah adalah penyakit berulang dan memerlukan pemulihan sepanjang hayat,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :