NASIONAL

Datuk Suboh: Nik Faisal mungkin palsukan tandatangan saya

KUALA LUMPUR, 1 JUL: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa ketua pegawai eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil mungkin telah memalsu (meniru) tandatangan pengarah bukan-eksekutifnya, Datuk Suboh Md Yassin pada dokumen bank bagi memindahkan dana oleh SRC.

Pemindahan dana dikata melibatkan berjuta-juta ringgit dari SRC kepada dua subsidiarinya Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Pendedahan ini dibuat peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, peguam utama bagi Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyoal balas Suboh pada perbicaraan SRC Najib hari ini di mana pihak pembela menggunakan mesin projektor bagi membandingkan tandatangan Suboh pada beberapa salinan kertas dan pada dokumen yang diimbas.

Peguam itu menimbulkan isu bagaimana semua tandatangan Suboh pada 11 dokumen bank di salinan yang diimbas adalah serupa dengan saiz dan struktur yang sama dan mempunyai padanaan tepat dan bagaimana tandatangan Suboh pada salinan kertas pula berbeza dari salinan imbasan.

Muhammad Shafee menyifatkan perbezaan tandatangan Suboh pada salinan kertas dan pada dokumen imbasan seperti “gajah dengan tikus” hingga mencetuskan gelak ketawa dalam mahkamah.

Muhammad Shafee : Saya kira anda puashati yang saya telah membuktikan dengan pasti bahawa tandatangan anda pada salinan kertas telah dipalsukan dan telah diimbaskan kepada bank seolah-olah ia dokumen asal dan tulen.

Apa yang menarik ialah anda akan dapati dari semua dokumen ini (dokumen pemindahan wang dari SRC kepada dua subsidiarinya); anda lihat tandatangan Nik Faisal, tidak ada masalah … Andaian saya ialah Nik Faisal memalsukan tandatangan anda?

Suboh : Mungkin.

Muhammad Shafee : Mungkin? Tetapi kami telah tunjukkan kepada anda dengan pasti dan anda puashati apa yang telah saya tunjukkan kepada anda?

Suboh : Ya.

Muhammad Shafee : Apakah anda setuju dengan saya bahawa orang yang anda percayai Nik Faisal menganggap anda orang yang amat dipercayai. Tidak salah menjadi orang yang dipercayai, tetapi dia nampak ini? Ya?.

Suboh : Ya, mungkin.

Muhammad Shafee : Anda setuju dengan saya, oleh kerana terdapat perbezaan antara salinan kertas dengan salinan imbasan, anda tidak mungkin menyetujui pemindahan wang, hanya Nik Faisal yang melakukannya, dikatakan beliau lakukannya bila anda tidak terlibat?.

Suboh : Ya.

Kepada satu lagi andaian Muhammad Shafee bahawa Nik Faisal mungkin nampak kelemahannya (Suboh) yang menyebabkannya mengambil kesempatan dengan dikatakan memalsukan tandatangannya,

Suboh menjawab: “Ya”.

Saksi itu juga bersetuju dengan andaian peguam bahawa Nik Faisal telah mengelirukannya dengan memberi gambaran salah bahawa beliau mendapat sokongan dari “orang atas (Najib)”.

Suboh juga menjawab dengan tegas bila ditanya yang beliau tidak ada membuat pengesahan dengan Najib dan langkah susulan dengan Najib.

“Ya, mungkin pada masa itu saya tidak sihat. Saya pernah berada di hospital hingga waktu saya menjalani (pembedahan) bypass,” kata beliau.

Pendengaran di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok. – BERNAMA


Pengarang :