SELANGOR

Dengar suara mangsa jerit minta tolong – Bapa saudara

KUALA LANGAT 14 JUL – Saksi kejadian kebakaran yang mengorbankan nyawa dua beradik di Kampung Endah, Banting awal pagi tadi terkilan tidak dapat menyelamatkan mangsa kerana api marak dengan cepat.

Datuk Khamijas Ngainan yang juga bapa saudara kepada Nur Salsabila Mohd Fakrul Khair, 15, dan adiknya Nur Ain Sumayyah,13, berkata, dia hanya sempat masuk ke bahagian dapur sebelum jeritan dua beradik itu hilang.

“Saya dan isteri sampai ke rumah selepas pulang dari berniaga kira-kira pukul 2.30 pagi ternampak api sudah menjulang tinggi dan jerit kepada anak-anak adik saya supaya keluar dari rumah tersebut.

“Ketika itu saya dapat mendengar dengan jerit arwah meminta tolong tetapi sebaik saya berjaya memecah pintu dapur, suara mereka dah hilang dan saya pun dah tidak boleh masuk ke bahagian bilik kerana api terlalu marak,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Banting di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 2.48 pagi itu, Nur Salsabila dan Nur Ain Sumayyah rentung 100 peratus dan mayatnya dijangka dikebumikan malam ini selepas proses bedah siasat selesai.


Pengarang :