NASIONAL

Dewan rakyat lulus dua RUU

KUALA LUMPUR, 15 JUL : Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 yang bertujuan menubuhkan Lembaga Kelayakan Profesion Guaman Syarie, Badan Peguam Syarie dan Majlis Peguam Syarie untuk mengawal selia amalan profesion guaman syarie di Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof, ketika menggulung perbahasan, menegaskan penggubalan undang-undang itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama bagi Wilayah Persekutuan.

“Setelah mendapat persetujuan di pihak Yang di-Pertuan Agong, kemudian kita bawa ke Kabinet dan dipersetujui, barulah kita bawa ke Parlimen pada sesi kali ini.

“Dengan kata lain, saya memberi jaminan kepada ahli-ahli Parlimen sekalian, dalam hal pentadbiran Islam, kami amat-amat prihatin dalam soal kuasa Raja-Raja Melayu dan khususnya Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan beberapa ahli Parlimen pembangkang termasuk Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) dan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai sama ada penggubalan rang undang-undang itu telah dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Melalui RUU itu juga, bakal peguam syarie akan diwajibkan menjalani latihan dalam kamar selama enam bulan, bagi membiasakan diri mereka dengan perundangan substantif dan tatacara yang perlu dipatuhi dalam pengendalian satu-satu kes.

Dalam pada itu, Dewan Rakyat turut meluluskan RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) (No.2) 2019.

RUU itu bertujuan meminda Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993, susulan penggubalan RUU Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019.

-BERNAMA


Pengarang :